Followers

Tuesday, March 15, 2011

M.A.I.D

SEKILAS PANDANG....'M.A.I.D' - SURI RYANA


HARI ini bagiku adalah hari yang sangat istimewa. Pertama sekali, sebab masuk hari ini genaplah sebulan aku bekerja di rumah Mr. F dan yang kedua, hari ini merupakan hari lahirku yang kedua puluh empat. Aku langsung tidak menyangka Mr. F yang garang macam harimau tu, baik jugak hatinya. Terkejut beruk aku semalam apabila jumlah wang dalam akaun Maybankku tiba-tiba menjadi banyak. Aku sengaja memeriksa baki dalam akaun semalam semasa keluar makan dengan Iman. Awal sehari rupa-rupanya gajiku masuk. Alhamdulillah. Terus aku memindahkan sejumlah wang ke dalam akaun mak. Kasihan mak, dah dua bulan tidak mendapat wang saku dari anak sulungnya ini.

Kemudian, aku terus menelefon mak semalam. “Assalamualaikum, mak.”
Terbayang wajah mak yang kurindui di ruang mataku.

“Waalaikumussalam.”

“Noorul dah masukkan RM600.00 dalam akaun mak. Nanti cek, tau,” kataku dengan gembiranya. Lega rasa hati bila terkenangkan bumbung rumah yang bocor boleh dibaiki pada bila-bila masa sekarang.

“Terima kasihlah Noorul. Kenapa banyak sangat?” tanya mak kehairanan.

“Gaji Noorul sekarang lebih sikit daripada gaji semasa kerja kat kilang kicap dulu, bolehlah bagi lebih sikit,”  ujarku.

“Ni, mak dengan Noorin nak ucapkan selamat hari lahir kat kamu. Semoga anak mak ni cepat bertemu jodoh.”

Hish, mak ni dari tahun lepas selalu kias-kias dengan aku suruh cepat-cepat berkahwin.

“Terima kasih, mak. Ingat jugak mak kat Noorul.” Sengaja aku buat nada sedih. Aku tersengih sendiri.

“Ya Allah... mak yang lahirkan kamu. Takkan mak lupa kut. Kamu ni...!”

Tinggi pula nada suara mak apabila mendengar aku cakap begitu. Aku terus ketawa mendengar kata-kata mak. Kalau aku ada kat situ, semestinya mak dah mencubit aku.

“Noorul saja aje cakap gitu,” kataku sambil ketawa kecil.

“Noorul, Mak Cik Leha dah selalu sangat tanya mak pasal kamu. Kamu memang tak ada perasaan ke dengan Si Asyraf tu?”

Nada suara mak serius benar ketika ini. Pertanyaan mak itu benar-benar mengocak ketenangan di dalam kolam hatiku.  Ah, berapa kali harus aku beritahu yang aku tak ada hati dengan Si Asyraf tu? Aku menggaru kepala yang tidak gatal.

“Mak, lain kali kita bincang pasal hal ni okey? Bateri telefon ni dah nak habis mak. Nanti Noorul telefon lagi ya. Assalamualaikum.”
Aku terus mematikan talian. Bukan aku tidak kasihankan mak, tetapi aku memang tidak ada perasaan langsung dengan Asyraf tu. Terpaksalah aku memutuskan talian dengan cara begitu. Rimasnya aku!
Hish, bila teringatkan perbualan aku dengan mak semalam, rasa tak sabar sangat nak balik kampung tetapi aku harus menyediakan satu set jawapan ketika mak bertanya tentang hasrat Asyraf dan Mak Cik Leha nanti.

“Apa yang kau menungkan tu?”

Lamunanku terhenti apabila ditegur oleh Iman yang baru keluar dari bilik. Kenapa Iman tak siap lagi ya? Hari ni bukan hari Khamis atau hari Ahad. Pelik jugak aku.

“Tak ada apalah Iman. Yang kau ni, tak pergi kerja ke hari ni? Hari ni hari Jumaat, kan?” tanyaku kepada Iman yang sedang membancuh air kopi.

“Aku saja ambil cuti. Nak rehatkan badan,” jawab Iman dengan selamba.

“Seronoknya... kan best kalau aku pun boleh cuti hari ni.”
Best memanglah best, tetapi tak dapatlah aku mendengar suara Mr. F nanti. Hatiku berkata-kata.

“Kau jangan nak mengada-ada Noorul. Baru aje sebulan kerja, dah fikir nak cuti. Jangan malas Noorul, nanti tak pasal-pasal kau kena pecat.”

Iman ni memang berpotensi untuk jadi seorang ‘mak nenek’ yang berjaya. Aku baru cakap aje, dia dah membebel.

“Kau ni Iman... aku cakap ajelah, bukan aku nak ambil cuti betul-betul pun.” Aku menangkis bebelan Iman itu. “Dahlah, aku nak gerak ni. Jumpa kau petang nanti ye.”

Jam menunjukkan pukul tujuh lima belas minit pagi. Aku menghirup air teh yang masih berbaki dan bangun dari kerusi.

“Tolong basuhkan cawan aku ye, Iman. Aku takde masa dah ni. Thank you my darling!” jeritku kepada Iman ketika menyarungkan kasut di muka pintu.

“Bertuah punya kawan! Naik motor tu elok-elok. Bye.” Iman yang muncul di ruang tamu bersama secawan kopi di tangan sempat lagi berpesan kepadaku.


TING! Tong!

Siapa pula yang datang waktu-waktu begini? Tak mungkin Mr. F kerana dia semestinya berada di pejabat sekarang. Aku terus menyarungkan tudung dan membuka pintu. Terkejut aku apabila terpandang wajah dua orang yang aku kenali muncul di muka pintu.

“Happy birthday to you, happy birthday to you, happy birthday to Noorul, happy birthday to you!”

Mr. Lee dan Iman terus masuk dan menyanyikan lagu selamat hari lahir kepadaku.

Iman membawa kek berserta piza Hawaiian Chicken kegemaranku dari Pizza Hut.

“Terima kasih Iman... thank you Mr. Lee.”

Aku benar-benar terharu dengan mereka. Aku terus memeluk Iman dengan erat. Ada air mata membasahi pipiku ketika ini. Aku ni memang senang mengeluarkan air mata, tidak kira masa gembira atau sedih.

“Haiya! Apa pasai you menangis? Sudah tak cantik la....” Mr. Lee mengusikku sambil ketawa kecil.

Aku hanya tersenyum. Sememangnya aku sangat gembira.

“Dah, potong kek ni Noorul. Jangan lupa wish tau,” kata Iman yang tersenyum manis sambil memberikan pisau pemotong kek kepadaku.

“Hah, cepat potong. Saya tak boleh lama... tak ada orang jaga di bawah tau,” kata Mr. Lee pula.

Aku dengan pantas memotong kek dan disusuli dengan tepukan daripada mereka berdua.

“Apa yang kau wish tadi?” tanya Iman kepadaku sambil tersenyum.

“Aku wish supaya cepat-cepat dapat jodoh,” selorohku sambil ketawa kecil.

Iman juga kulihat ketawa dengan jawapanku itu.

“Wa... you sudah mau kahwin ka? Jangan lupa jemput saya tau. Saya suka makan itu nasi kenduri.”

Kata-kata Mr. Lee itu disambut oleh ketawa besar aku dan Iman.
Aku terus memotong kek dan meletakkan dua keping piza ke atas piring kertas yang dibawa oleh Iman dan kuberikan kepada Mr. Lee. Aku tahu dia tidak boleh lama berada di sini dan makanan yang kuberikan itu akan dimakannya di dalam pondok pengawal nanti.

“Thank you! Thank you! Saya turun dulu ya,” pamit Mr. Lee sambil membawa piring kertas yang agak besar itu dan menuju ke arah pintu.
Ting! Tong!

Kami berpandangan sesama sendiri. Siapa pula yang datang? Takkan Mr. F kut? Mati aku!!!

“Hey! Berapa orang you jemput?” tanya Mr. Lee kepada Iman. Matanya kemudian dialihkan kepadaku.

“Mana ada siapa dah. Kita ajelah. Entah-entah Mr. F yang balik kut. Mati kita Noorul....” Itu sahaja ayat yang keluar dari mulut Iman.
Aku yang terasa seperti hendak pengsan saat ini pula terus membuka pintu dan sudah bersedia untuk kehilangan kerja buat kali kedua di dalam tahun ini.

“Assalamualaikum,” ujar lelaki di hadapanku.

Aku dan Iman berpandangan. Tidak, bukan Mr. F yang pulang. Lelaki ini adalah tetamu Mr. F yang kami nampak kira-kira tiga minggu yang lepas.

“Waalaikumussalam...” jawabku perlahan.
Habislah aku, pasti kawan Mr. F ni akan beritahu tentang kehadiran Iman kepada Mr. F.

“You siapa? Ini bukan rumah you, kan?” tanya Mr. Lee kepada lelaki itu.

“Bukan. Ni rumah Harris, abang saya.” Tenang lelaki yang masih berdiri di muka pintu itu menjawab pertanyaan Mr. Lee. Senyuman manis terukir di bibir.

“Oh, adik dia ka? Okey, Iman, Noorul. Saya turun dulu ya. Thank you tau bagi saya ini kek dan piza,” kata Mr. Lee dan terus keluar.
Aku dan Iman hanya mengangguk lemah.

“Jemputlah masuk encik,” kataku kepada lelaki yang berdiri di hadapanku.

“Tak perlu berencik-encik. Panggil aje Haikal atau kalau nak lagi mesra, Carl,” ujar Haikal sambil ketawa kecil. Dia kemudiannya melangkah masuk dan terus duduk di atas sofa.

Sekuntum senyuman diberikan kepadaku. Pelik betul! Yang si abang, mencuka aje mukanya. Yang si adik pula asyik tersenyum setiap masa.

“Kek hari jadi siapa ni?” tanya Haikal dengan penuh minat.
Iman yang dari tadi hanya diam terus bersuara. “Sebenarnya, hari ni hari lahir Noorul. Jadi, saya datang bawak kek ni untuk sambut hari lahirnya yang kedua puluh empat.”

“Oh, dua puluh empat tahun... muda dua tahun dari sayalah ni. Awak pun dua puluh empat tahun ya?”

Iman menganggukkan kepalanya.

“Encik, dia tak bersalah. Saya yang salah. Noorul tidak tahu apa-apa pun. Tolonglah jangan beritahu Mr. F. Mesti dia pecat kawan saya ni.” Tiba-tiba Iman merayu kepada Haikal.

Aku yang sedikit cuak hanya memandang ke lantai.

“Mr. F?” Haikal mengerutkan sedikit dahinya.

Aku menjeling geram ke arah Iman.

“Eh, salah... salah. Mr. H. H untuk Harris.” Iman berkata dengan agak gugup.

“Ye saya tahu, H untuk Harris. Tapi F pula untuk apa?” tanya Haikal dengan penuh minat.

“Takde apa-apa encik. Iman tersalah sebut huruf aje tadi.” Aku terus bersuara. Harap-haraplah lelaki ini percaya dengan alasanku.

“Okey, saya akan telefon Abang Harris dan beritahu tentang party ni sekarang kalau korang tak nak cakap apa maknanya F tu,” ugut Haikal.
Hish! Kejam betul!

“F untuk fussy,” jawabku perlahan.

Tidak kuduga dengan tiba-tiba, ruang bawah penthouse ini menjadi riuh dengan gelak ketawa Haikal. Aku dan Iman tersenyum lega.
“Abang Harris memang cerewet sikit tapi dia baik tau,” ujar Haikal sambil tersenyum. Tidak ada riak kurang senang di wajahnya.

Aku terus meletakkan sepotong kek ke atas piring dan kuberikan kepadanya.

“Terima kasih. Selamat hari jadi cik...?” Dia mengambil piring yang kuhulur kepadanya.

“Noorul,” jawabku sambil tersenyum.

“Awak pula?” Dia bertanya kepada Iman sambil menyuapkan kek ke dalam mulut.

“Iman,” jawab Iman sambil tersenyum. Pastinya Iman tidak menyangka adik Mr. F sebaik ini.

“Saya datang ni sekejap aje sebab saya nak ambil beg kat atas. Tak sangka pula dapat berjumpa dengan dua orang perempuan cantik kat sini,” kata Haikal sambil mengenyitkan matanya kepadaku.
Memang perilakunya jauh berbeza dengan Mr. F.

Seperti biasa aku dan Iman hanya tersenyum.

Tiba-tiba telefon bimbit Haikal berbunyi.

“Helo,” jawabnya.

“Dah. Carl kat Golden Palacelah ni. Cantiknya pembantu rumah along. Kenapa tak nak kenalkan awal-awal dengan Carl?”

Alamak! Janganlah dia beritahu yang Iman ada sekali dengan kami.
Tiba-tiba Haikal menyerahkan telefon bimbitnya kepadaku.

“Assalamualaikum.” Aku memulakan bicara.

“Waalaikumussalam. Adik saya datang untuk ambil begnya. Maaf, saya ada meeting tadi... jadi tak sempat nak beritahu. Lain kali jangan benarkan sesiapa pun masuk ke dalam rumah tanpa kebenaran saya. Saya juga akan maklumkan kepada awak kalau ada sesiapa yang hendak datang ke rumah ketika awak bekerja di masa hadapan.”

Panjang lebar Mr. F bercakap denganku hari ini. Rasanya inilah ayat yang paling panjang pernah keluar dari mulutnya sepanjang kami bercakap di telefon sebelum ini. Aku yang terlupa dengan kehadiran Iman dan Haikal tiba-tiba tersenyum gembira.

“Baiklah encik,” jawabku dengan pendek sambil memulangkan telefon bimbit kepada Haikal.

“Iyalah, nak gerak dah ni. Risau sangat along ni. Assalamualaikum.” Haikal mematikan talian sambil memandang ke arahku dan tersenyum lagi.

Memang ada iras Mr. F cuma bagiku, Mr. F lagi kacak kut.

“Risau betul Abang Harris tu sebab dia ingat saya berdua dengan awak aje. Takut kita kena tangkap basah kut,” katanya sambil ketawa.
Iman juga kulihat sakan bergelak ketawa dengan kata-kata Haikal itu.

“Okeylah, saya nak ambil beg kat dalam bilik Abang Harris sekejap,” katanya sambil berlalu.

“Pst... Noorul. Baik kan Haikal tu? Tak macam Mr. F,” komen Iman kepadaku sebaik sahaja Haikal hilang dari pandangan kami.

“Tapi Mr. F lagi handsome,” balasku sambil tersenyum.
Iman menjegilkan matanya.

“Handsome tapi perangai macam hantu, nak buat apa?” Sempat lagi Iman mengutuk Mr. F.

“Ala, kita tak kenal dia betul-betul lagi. Mungkin dia pun baik macam Haikal.”

Aku tidak tahu kenapa aku harus mempertahankan Mr. F setiap kali Iman berkata sesuatu yang buruk tentangnya.

Belum sempat Iman membidas kata-kataku itu, Haikal sudah pun turun ke bawah bersama dua buah beg berwarna hitam.

“Okey Noorul dan Iman, saya gerak dulu. Boleh saya tahu nombor telefon awak?” tanyanya sambil mengeluarkan telefon bimbitnya.
Aku benar-benar terkejut dengan permintaan lelaki ini. “Untuk apa ye, encik?”

“Senang kalau ada apa-apa hal nanti,” ujarnya selamba.

“Oh... 012-4145323.” Aku terus memberikan nombor telefonku. Takut pula kalau ada apa-apa hal nanti, tetapi dia boleh aje terus beritahu Mr. F, kan?

“Okey, saya gerak dulu ye. Assalamualaikum,” pamit Haikal dan terus menuju ke arah pintu.

“Waalaikumussalam.”

Kami menghantar Haikal hingga ke muka pintu.

Lelaki itu sempat melambai ke arah kami sebelum berlalu pergi.
Sebaik sahaja aku menutup pintu, kami terus menghabiskan kek dan piza yang dibawa oleh Iman.

Kemudian, Iman membantu aku melakukan kerja-kerja di dalam penthouse sambil bersembang-sembang atau lebih tepat lagi bergosip tentang Mr. F dan Haikal. Nampaknya Iman lebih sukakan Haikal daripada Mr. F dan tidak habis-habis dia memuji keramahan Haikal.

Aku pula masih tersenyum sendiri apabila mengenangkan aku dapat bercakap sebanyak dua kali dengan Mr. F hari ini.
Nak tahu lebih lanjut? Dapat novel ini di pasaran bulan APRIL nanti!




“Ya Allah Noorul... takkan goreng ikan pun kau tak tahu? Masak nasi tahu tak?
Haih... habislah kau kalau macam ni. Tak sampai seminggu gerenti kau kena pecat, Noorul.”



TERBITAN: KAKI NOVEL ENTERPRISE
PENULIS: SURI RYANA
ISBN: 978-967-5067-77-8
SEMENANJUNG: RM 26.00
SABAH/SARAWAK: RM 29.00
JUMLAH M/S: 768

0 comments:

Search This Blog

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...