Followers

Monday, December 13, 2010

Akulah Cinderella ( cerita sekerat ) hihi ...

“MACAM MANA? Setuju?”

Aku memandang Alia dan Aida.

“Aida ikut aja, mana yang Kak Syah fikir baik, baik jugalah bagi Aida.”

“Alia?”

“Lia rasa, macam tak berapa eloklah Kak Syah. Tak menyusahkan Datin tu ke?”

“Kita ada pilihan tak?”

“Kalau kita minta Mak Cik Senah jadi penjaga yang sah macam mana?”
Alia masih berkira-kira mencari alasan.

“Itu akan menyusahkan Mak Cik Senah. Dia sendiri pun janda. Nanti langsung takkan ada orang nak kat dia kerana kita.”

Mereka berdua tergelak.

“Okey, mari kita senaraikan buruk dan baiknya, nak tak?”

Aida mengambil sehelai kertas dan sebatang pen.

“Okey, Kak Syah senaraikan kebaikan, Kak Lia senaraikan keburukan. Aida tukang tulis.”

Aku dan Alia saling berpandangan dan tersenyum melihat gelagat Aida.

“Okey, keburukan yang pertama. Dia orang kaya, kita ni miskin. Datin tu akan mendapat malu jika membela kita yang sangat daif dan naif ni.”

Ya, ada benar juga kata-kata Alia itu. Pasti reputasi Datin Zulaikha terjejas kerana kami.

“Okey, kebaikannya pulak, kita akan mendapat tempat tinggal yang selesa, makanan berkhasiat, persekitaran yang bersih. Sihat untuk badan dan otak. Baru senang nak belajar.”

Aku mencedok idea daripada kata-kata Sarah semalam.

“Okey, seri satu sama!” Aida tersenyum.

“Keburukan yang kedua, kita tak kenal sangat siapa dia. Kalau barang berharga dia hilang ke, lepas tu dia marah kita atau dia pukul kita macam mana? Pada siapa kita nak mengadu?”

Betul juga kata Alia itu. Tapi aku tidak akan membenarkan ia berlaku. Selagi aku hidup, tiada siapa pun boleh menjentik adik-adik aku. Nak dera, deralah diriku sorang saja.

“Okey, lagi satu kebaikan, kita dapat merasai kasih sayang seorang ibu. Percayalah cakap Kak Syah, setakat ini dia memang baik dan lembut, macam ibu.”

Mereka berdua merenungku. Aku hanya tersenyum hambar. Aku tahu mereka amat merindui belaian ibu. Terutama sekali Alia. Dialah anak yang paling rapat sekali dengan ibu.

“Kak Syah, sure? Confirm ni?”

Alia inginkan kepastian. Sinar matanya ceria. Betullah memang dia sangat merindui ibu.

Aku hanya mengangguk.

“Okey dua sama.”

“Keburukan yang ketiga ialah, macam mana kalau dia dah tak sayang kita? Dia halau kita? Mana kita nak pergi? Nak balik sini, rumah dah tak ada.”

Sekali lagi aku menelan kata-kata Alia itu. Bagaimana kalau ia benar-benar berlaku? Mereka merenungku semula.

“Kak Syah janji itu tak akan berlaku. Kalau betul-betul berlaku pun, kita pergi mengadu kat JKM. Pasti dia kena punyalah!”
Jaminan itu sekadar menutup gelisah di hatiku sebenarnya. Alia dan Aida tersengih.

“Betul ni, Kak Syah?”

Alia sekali lagi inginkan kepastian. Aku mengangguk perlahan.

“Kebaikan lagi satu, kita ada bilik sendiri. Bukan ke itu yang kita mahu dari dulu? Kita boleh decorate bilik kita sendiri. Kita ada privacy. Rumah dia ada sepuluh bilik tau.”

“Sepuluh bilik? Banyaknya...!”

Mereka bersuara serentak. Reaksi mereka sama sepertiku malam tadi.

“Okey tiga sama, ada lagi?”

“Rasanya tak ada dah kut.” Alia berkerut kening sedang memikirkan keburukan-keburukan lain yang mungkin ada.

“Okey, kalau macam tu keputusannya seri.” Aida tersengih sambil menayangkan kertas yang tercatat kemas.

“Ada lagi satu kebaikan.”

Mereka menoleh dan terkebil-kebil merenungku.

“Ada lagi? Apa dia?”

“Kak Syah dapat bersekolah semula.”

“Betul ke Kak Syah? Betul ke ni? Alhamdulillah... termakbul juga doa Lia.”

“Kau doakan Kak Syah ke?”

“Yalah. Akak dah banyak berkorban untuk kami semua. Doa Lia, supaya Kak Syah dapat belajar lagi walaupun Kak Syah dah tua sikit.”

Tiba-tiba aku rasa sungguh terharu. Aku peluk Alia.

“Ehem! Bukan Kak Lia sorang aja yang doakan untuk Kak Syah, Aida pun ada tau.”

“Ya ke? Aida doa apa?”

“Banyak....”

“Banyak? Hmmm... apa dia tu?”

Hatiku digaru rasa ingin tahu. Apa pula doa Si Aida untukku agaknya?

“Aida doa supaya akak murah rezeki, akak dapat belajar semula, akak dapat hidup senang, akak akan tukar imej semula dan bertemu jodoh dengan orang kaya.”

Tawa kami terburai. Lucu sangat dengan gelagat Aida itu, siap dengan memek mukanya sekali. Sayang juga mereka padaku.

“Okey, Kak Syah janji ini hanya temporary aja. Bila umur Kak Syah dah lapan belas tahun nanti, Kak Syah sendiri akan mengambil alih menjaga korang semula. Cuma Kak Syah minta korang semua bersabar dan bertahan selagi boleh, ya? Hanya setahun aja. Bolehkan?”

“Promise?”

Aida sudah menegakkan jari kelingkingnya.

“Promise!”

Kami mengait jari kelingking sesama sendiri. Ya, cuma setahun saja yang aku perlukan untuk menjadi penjaga yang sah. Dan cuma setahun saja aku akan tinggal bersama Datin Zulaikha. Menjadi anak angkatnya. Harap-harap semuanya berjalan lancar.



SELEPAS kerja aku terus pulang ke rumah sebab Datin Zulaikha dan Sarah akan datang ke rumahku. Aku segan sebenarnya. Tetapi semasa Sarah telefon di pejabat tadi, memang beria-ia benar nampaknya. Katanya, Datin Zulaikha teringin sangat hendak melihat keadaanku dan adik-adik. Tetapi bagiku itu hanya alasan saja. Mereka ingin mendengar keputusanku sebenarnya.

Aku menongkat basikal pada dinding papan yang sudah berlubang. Besar juga lubang itu. Patut saja kami sering diganggu oleh mata-mata gatal yang suka mengintai.

Seronok agaknya rumah ini ramai anak dara. Kalau aku nampak, akan aku cucuk mata itu dengan garfu, biar mereka menjadi seperti Kasim Selamat.

Tetapi malangnya, aku tidak pernah nampak, hanya Alia dan Ain saja yang mengadu. Hanya mereka saja yang nampak. Pengintai itu seperti tahu saja waktu aku tiada di rumah. Namun mujur saja mereka hanya mengintai, dibuatnya terus masuk ke rumah, tak ke haru-biru jadinya? Sejak itu, Alia tampal lubang-lubang di dinding dengan kotak yang dipotong empat segi. Memang buruk rupanya keadaan rumah kami ini. Sangat daif.

“Kak Syah, awalnya?”

Ain tersengih di muka pintu.

“Haah, kejap lagi Datin nak datang rumah kita.”

“Oh, mak angkat kita tu ya? Bestnya!”

“Mana Azah dan Aiman?”

“Tu, tengok kartun.”

Ain muncungkan bibirnya ke arah dua orang lagi adikku yang sedang asyik menonton rancangan kartun di kaca TV yang sudah uzur itu. Yang sudah pastinya aku tidak mampu untuk menggantikan yang baru. Hendak makan pun kadang-kadang tidak cukup, masakan mahu membeli TV baru. Kadang-kadang aku terpaksa mengikat perut, berjimat cermat demi kelangsungan hidup. Demi adik-adikku.

“Kak Syah, tadi Tuk Mat datang.”

“Hah? Dia nak apa? Dia datang dengan siapa?”

“Datang sorang aja. Dia tinggal pesan buat akak.”

Aku mengangkat kening.

“Dia kata esok orang daripada JKM datang.”

“Pukul berapa dia orang datang?”

“Tuk Mat kata dalam pukul tiga.”


DARI tingkap dapur kelihatan sebuah kereta Mercedes merangkak perlahan-lahan memasuki halaman rumahku. Aku kenal kereta itu. Ia milik Datin Zulaikha. Sekilas memori aku memecahkan cermin keretanya terlintas di kotak fikiranku.

Aku tersenyum nipis sebelum melangkah keluar menyambut mereka. Sarah yang tersenyum manis keluar dari perut kereta.

“Susah ke cari rumah saya?”

Aku bersalaman dengan Datin Zulaikha dan Sarah.

“Tak juga. Akak tanya sorang mak cik yang jual laksa kat sana.”
Sarah menuding jari ke arah yang dimaksudkan. Ya, itulah Mak Cik Leha yang menjual laksa di gerai tepi jalan, lebih kurang lima minit saja sebelum sampai ke rumahku.

“Jemputlah masuk ke pondok saya.”

Dengan rendah hati aku mempelawa mereka. Khuatir juga aku, manalah tahu mereka geli dan jijik dengan keadaan rumahku ini.

“Duduklah. Sorry kotor sikit.”

Aku membentangkan tikar mengkuang yang memang dikhaskan untuk tetamu.

Mereka hanya tersenyum manis sambil mata memandang sekeliling rumah. Ada riak kesedihan terpancar di wajah Datin Zulaikha. Apalah agaknya yang bermain di fikiran wanita itu? Apalah tanggapannya saat melihat kehidupanku yang sebenar? Kasihan atau menjengkelkan? Mana mungkin boleh menandingi rumahnya Datin Zulaikha. Rasanya dapur rumah wanita itu lebih cantik daripada pondok burukku ini. Adik-adikku juga sudah menyibuk duduk di tepiku.

“Datin ini adik-adik saya. Yang ini Nur Ain, ini pula Mohd Aiman dan yang itu Nur Azah.” Aku memperkenalkan mereka kepada Datin Zulaikha.

Dua wanita hebat itu tersenyum saat melihat adik-adikku masih malu-malu.

“Ini ke mak angkat kita?” bisik Ain, kononnya tidak mahu Datin Zulaikha mendengarnya. Padahal suaranya itu amat jelas kedengaran sehingga mengundang tawa Datin Zulaikha dan Sarah.

“Ya sayang, panggil mami okey.”

Mami pulak?

“Errr, Ain pergi buat air.”

“Eh, tak payah susah-susah, Syah.”

Sarah cuba menolak.

“Tak ada susahnya kalau setakat air aja. Tak sudi ke?”
Sarah tersenyum kelat. Aku memberi isyarat mata kepada Ain, menyuruh dia ke dapur menyediakan minuman.

Ain angkat punggung sambil menarik tangan Azah dan Aiman.
“Sorry, Syah… bukan macam tu. Cuma tak mahu susahkan Syah, tu aja.”
“It’s okay. Saya bergurau aja.”

“Mana lagi dua orang adik Syah?”

“Oh, dia orang tak balik sekolah lagi. Dalam pukul tujuh karang dia orang sampailah Datin.”

Datin Zulaikha mengangguk faham.

“So, macam mana? Dah bincang?”

“Saya dah bincang dengan mereka, nampaknya mereka ikut aja keputusan saya.”

“Jadi, Syah dah buat keputusan?”

Aku mengangguk perlahan.

“Apa dia?”

“Hmmm... saya rasa, saya terima tawaran Datinlah.”

Sarah dan Datin Zulaikha tersenyum lebar. Reaksi mereka ternyata gembira.

“Alhamdulillah, terima kasih kerana beri peuang kepada mami, sayang.”

“Tapi... hanya setahun aja ya?”

Mereka terdiam dan saling berpandangan.

“Kenapa pula, Syah?”

“Tahun depan umur saya lapan belas tahun. So, saya rasa, saya akan ambil alih menjadi penjaga yang sah buat adik-adik.”

“Masa tu nak tinggal kat mana?”

“Saya akan cari rumah sewa. Dengan adanya SPM, saya boleh mencari kerja yang lebih baik.”

“No! Tak boleh! Habis SPM Syah kena sambung studi lagi sampai masuk U.”

Serius pula muka Datin Zulaikha ni. Aku diam.

“Ya Syah, kalau result elok mungkin pergi oversea. Kalau masuk U kat Malaysia ni pun, mesti kena duduk kampus, kan? So, adik-adik awak macam mana?”

Dup!

Degup jantungku seakan terhenti seketika. Tidak terfikir pula aku sampai ke situ. Yang aku tahu, aku cuma mahu mengambil SPM saja untuk mencari kerja yang lebih baik. Bagaimana jika keputusan SPM aku cemerlang? Tidak! Tidak! Aku tidak boleh terlalu tamak. Kata-kata Sarah ini membuatku cuak semula.

“Syah?”

Aku tersentak.

“Ya, Datin?”

Datin Zulaikha tersenyum memandangku.

“Mami sayang, panggil mami.”

“Saya tak biasa.”

Aku tersengih.

“Tak biasa, dibiasakanlah…”

Aku sengih lagi. Ain sudah muncul bersama tiga cawan kopi.

“Jemputlah minum.”

“Errr Datin... eh, mami, Encik Shafiq dah tahu ke?”

Tiba-tiba pula aku teringat pada si mangkuk ayun itu. Berkongsi bumbung dengannya pasti mengundang ribut taufan nanti.

“Belum. Mami ingat nak buat surprise kat dia.”

Ha? Surprise? Gila apa? Mulut lelaki poyo itu berbisa sekali. Buatnya dia tidak suka dengan kami semua, habis dibahasakannya adik-adik aku kelak. Mereka ini sudahlah lemah gemalai, mahu saja berendam air mata nanti.

“Surprise? Janganlah mami. Lebih baik beritahu dia, nanti dia marah.”

“Syah jangan bimbanglah pasal tu. Tahulah mami nak handle dia.”
Aku tersenyum kelat. Mataku beralih kepada Sarah pula, gadis itu juga tersenyum lebar. Tak seronok betullah. Aku bimbang jika lelaki itu buat hal. Tapi, suka ataupun tidak, aku memang tiada pilihan lain.

Dalam teragak-agak, aku cuba mengangguk, cuba akur dengan keputusan itu.

“So, kalau boleh hari ni juga Syah ikut mami pulang ya?”

“Hah? Hari ini juga?”

Datin Zulaikha hanya mengangguk ceria.

“Tak bolehlah mami, esok orang daripada JKM nak datang.”

“Ha, elok sangatlah tu. Pukul berapa?”

“Dalam pukul tiga kut.”

“Okey, kalau macam itu esok mami datang lagi. Biar mami settlekan kes Syah ni. Then, after that you must follow me. No more excuses!”
Aku terkebil-kebil. No excuses? Takkan esok juga nak pindah ke rumah dia?

Tak bolehkah bagi aku masa untuk berlama-lama sikit di rumah ini? Rumah pusaka orang tuaku ini? Walaupun ia hanya layak dipanggil pondok buruk saja. Bagaimana dengan Mak Cik Senah? Aku tidak boleh berhenti begitu saja. Kasihan mak cik yang baik itu.

Nampaknya malam ini adalah malam terakhir aku bekerja dengan Mak Cik Senah. Aku pasti akan merindui mereka kelak. Aku akan tinggal dan bersekolah di bandar. Ya, aku akan bersekolah semula. Aku sangat merindui saat-saat itu.

“TAK apa ke ni mak cik? Syah rasa bersalahlah.”

“Tak apalah, Syah... tak usah risau pasal mak cik. Ramai lagi yang nakkan kerja Syah ni.”

“Tapi lepas ni, Syah tak boleh jumpa mak cik, Jaja dan Abang Man.”

“Correction, Syah! Bukan tak boleh jumpa, cuma jarang berjumpa.”

“Abang Man ni, buat lawak pulak orang tengah syahdu ni.”

“Jangan lupakan aku ya, Syah.”

“Insya-Allah, aku tak akan lupa korang semua yang sangat baik dengan aku ni.”

“Dah berjaya nanti pun jangan lupa Abang Man tau. Kalau ada orang buli Syah, cari abang ya.”

“Mak cik doakan Syah berjaya. Nak kahwin nanti jangan lupa jemput mak cik ya.”

“Apa ni mak cik! Syah muda lagilah. Lagipun siapalah nak kat Syah ni.”

“Syah, aku rasalah, kau kena tukar imej baliklah. Kau dah selamat sekarang, kan?”

MEMORI malam tadi menggamit pilu di hati. Berpisah dengan tiga orang yang agak rapat denganku saat yang amat perit kurasakan. Demi masa depan aku gagahkan jua.

Perlahan-lahan aku mengayuh basikal masuk ke halaman rumah. Jam di tangan hampir jam tiga petang. Sebentar lagi sampailah orang daripada JKM itu. Datin Zulaikha juga masih tidak nampak wajah.
Baru saja hendak memanjat tangga, terdengar deruman kereta masuk ke halaman rumahku. Ya, orang-orang daripada JKM itu sudah sampai.

“Assalammualaikum.”

“Waalaikumussalam, Tuk Mat. Jemputlah masuk.”

Aku bersalaman dengan Puan Jamilah dan Puan Hamidah.

“Bagaimana, Aisyah? Dah dapat cari penjaga yang sah?” soal Encik Borhan tanpa membuang masa.

“Ya, sekejap lagi dia sampai.”

Aku berpaling ke arah luar. Sebuah kereta Toyota Estima merangkak masuk ke halaman rumah. Siapa pulak ni? Datin Zulaikha keluar dari perut kereta diiringi oleh Sarah. Hairan, kenapa mereka bawa kereta lain pulak?

“Assalamualaikum.”

Sarah kelihatan simple saja hari ini. Hanya berseluar jean dan T-shirt berlengan pendek. Tetap manis di mataku.

“Waalaikumussalam.”

Kami semua menjawab serentak. Datin Zulaikha dan Sarah melabuhkan punggung.

“So, yang mana satu nak jadi penjaga yang sah kepada mereka enam beradik ni?”

Puan Jamilah memandang Datin Zulaikha dan Sarah.
“Saya Sarah, pembantu peribadi Datin Zulaikha dan dialah orangnya yang akan menjaga mereka.”

Riak wajah Tuk Mat sedikit terkejut dan tiga orang manusia daripada JKM itu hanya mengangguk.

“Ya, saya orangnya. Saya sanggup jadi penjaga yang sah kepada mereka semua.”

Datin Zulaikha mengesahkan persetujuannya. Aku berpaling melihat adik-adikku yang sudah berkumpul di bendul dapur ingin mendengar perbualan orang-orang dewasa di depanku ini. Ah, biarlah mereka tahu.

Aku hanya berkerut kening mendengar penjelasan dan keterangan daripada Encik Borhan kepada Datin Zulaikha tentang tugas dan tanggungjawab menjaga kami semua.

Aku lihat Datin Zulaikha hanya tersenyum sambil mengangguk tanda faham, sementara Sarah pula sibuk mencatat butiran dan maklumat yang keluar dari bibir Encik Borhan itu ke dalam organizernya.
Setelah lama aku menjadi patung di depan mereka semua, akhirnya tiga orang manusia daripada JKM itu beredar jua setelah hampir dua jam berbincang dengan Datin Zulaikha.

“So, macam mana sayang? Dah prepare semua?”

“Hah? Jadi jugak ke nak move out hari ni?”

“Yalah Syah, awak ni, nak tunggu apa lagi? Orang-orang tadi pun dah setuju Datin boleh bawa you all semua pergi hari ni.”

“Begitu aja? Senangnya, tanpa sain apa-apa dokumen?”

“Dokumen tu hari Isnin nanti mami settlekan di pejabat JKM. Syah tak usah risau pasal nilah.”

“So, tunggu apa lagi? Pergilah packing. Kita orang tunggu. Go!” Sarah memberi arahan.

Aku masih terkebil-kebil. Tiba-tiba dadaku sebak. Aku pandang rumah pusaka ini. Ibu, ayah... Syah akan tinggalkan kehidupan kita di sini. Syah akan tinggalkan semua kenangan kita bersama begitu aja.

Kenangan membesar, kenangan bermain, berputar laju di kotak fikiranku. Dadaku mula terasa sempit. Air mata mula bergenang di tubir mata. Aku bertahan sedaya boleh. Bimbang jika ada yang melihat. Wajah kedua orang tua yang paling aku sayang berlegar bersilih ganti. Suara mereka bagai bergema di ruang minda. Sayu. Pilu. Seakan-akan aku ternampak saja ayah sedang memerun sampah, ibu pula sedang menyapu daun-daun kering.

Aku naik ke rumah melihat setiap sudut pondok buruk ini. Walaupun buruk dan daif, tetapi di sinilah aku membesar. Di sinilah aku mendapat kasih sayang ibu dan ayah. Walaupun aku belum puas mengecapinya. Aku sangat merindui saat itu. Aku merindui ibu dan ayah. Aku sangat sayang dengan teratakku ini.

Aku menarik nafas. Cuba menghidu aroma rumah ini. Aku pasti merinduinya nanti. Mata pula aku pejam rapat-rapat dan membuka telinga seluas-luasnya. Ingin mendengar kicauan burung. Mendengar suara unggas. Untung berumah di pinggir kampung begini. Aman, tenang dan sunyi daripada kenderaan yang lalu-lalang. Dapatkah aku merasa suasana ini lagi?

Alia sudah menyiapkan barang-barang Aiman dan Azah. Barangnya juga sudah disiapkan. Memang aku sudah berpesan kepadanya sebelum pergi kerja pagi tadi. Dan mereka semua juga sudah maklum akan penghijrahan mereka hari ini. Ain dan Aida juga sudah meletakkan barang-barang yang mereka ingin bawa. Hanya aku saja yang belum.

Hanya aku yang masih berat hati untuk meninggalkan segala kenangan di sini.

“Sudahlah Kak Syah, pergi bersiap. Jangan biarkan orang tunggu lama.” Alia seakan mengerti perasaanku kala ini. Aku hanya bersiap ala kadar. Bukan banyak sangat barang-barangku.

Aku amati lagi teratakku ini. Inginku rakamkan di dalam memoriku segalanya yang ada di sini. Esok lusa pasti jentolak akan datang untuk merobohkan rumahku ini. Tempoh yang diberi anak menantu Pak Haji Yahya akan tamat esok.

KERETA yang kami naiki perlahan-lahan meninggalkan kawasan rumahku.
Kami semua berpaling ke belakang memandang sayu rumah pusaka itu. Aida sudah menitiskan air matanya. Begitu juga Alia, matanya juga sudah berkaca-kaca. Aku tahu mereka amat menyayangi rumah itu. Sedih barangkali kerana meninggalkan segala kenangan yang telah dibina sekian lama di rumah pusaka itu.

Aku hanya menahan sebak di dada melihat air mata mereka. Ngilunya di hati hanya Tuhan saja yang tahu. Aku tidak boleh menangis. Aku tidak mahu menangis! Aku harus kuat.

Bumbung rumah hilang daripada pandangan mata kami. Wajah Alia dan Aida masih mendung. Diam dan termenung melayan perasaan masing-masing. Sebaliknya Ain, Azah dan Aiman amat ceria sekali. Mereka masih belum mengerti lagi dan kenangan mereka pun tidak banyak di rumah itu. Yang mereka tahu keseronokan menaiki kereta yang besar ini. Amat selesa. Barulah aku mengerti, mengapa Datin Zulaikha membawa kereta ini.

Wanita itu berpaling ke belakang melihat kami semua sambil tersenyum.

“Sabar ya semua....” Lembut suaranya memberi semangat. Mungkin dia juga perasan akan keruh di wajah kami bertiga.

Aku membalas hambar senyumannya itu.

KAMI semua tercengang bila kereta yang dipandu Sarah berhenti di hadapan sebuah banglo mewah tiga tingkat. Mulut adik-adikku ternganga dan melopong. Aku hanya tersenyum melihat gelagat mereka.

“Wah, magiknya!”

Suara Aiman mengundang riuh tawa kami apabila pagar automatik terbuka dengan sendirinya. Perlahan-lahan kereta Toyota Estima itu merangkak masuk.

Aku lihat ada beberapa buah kereta lagi yang tersadai di dalam garaj rumah besar ini. Ada lapan buah kesemuanya. Dan sudah pastilah kesemuanya kereta mewah. Tiada langsung kereta buatan Malaysia. Tinggi juga selera mereka ini.

Kami keluar dari perut kereta dan mengambil barang masing-masing. Berjalan berhati-hati mengekori derap langkah Datin Zulaikha.

“Come, jangan malu-malu. Mulai hari ni, anggap aja rumah ni macam rumah kamu sendiri, okey?” pelawa Datin Zulaika dengan wajah ceria.
Adik-adikku mematung di depan pintu rumah menanti reaksiku. Aku tersenyum.

“Jom, sekarang inilah rumah kita.”

Sebaik mendengar bicara yang keluar dari bibirku, barulah mereka tersenyum ceria. Apabila pintu utama dikuak mata kami masing-masing membulat. Terkesima.

Kagum dengan perhiasan mewah di setiap sudut mahligai itu. Susun atur perabotnya kemas dan teratur. Malah, aku pasti perabotnya itu pasti mahal. Lantainya berkilat seperti cermin. Bagai berair-air saja kilatannya. Keseluruhan dinding pula berlatarkan wallpaper berbunga kecil. Secalit kotor pun tidak kelihatan malah cantik sekali dihiasi jambangan bunga dan lampu-lampu kristal.

Kami masih tercegat di ruang tengah menghadap tangga yang berkerawang keemasan. Aku betul-betul kagum dan tahu adik-adikku pasti lebih daripada itu. Dari ekspresi muka mereka saja sudah menunjukkan betapa kagum dan tidak percaya bahawa mereka akan tinggal di sini. Aku sendiri pun begitu juga. Memang tidak menduga sama sekali, malah tidak terjangkau dek akalku. Seperti bermimpi saja aku menjadi anak angkat orang kaya. Betahkah kami semua tinggal di mahligai ini?

“Duduklah, kita minum dulu ya.”

Datin Zulaikha merenungku. Wajah keibuannya seperti tersentuh melihat telatah adik-adikku itu. Kami mengambil tempat masing-masing. Duduk di sofa empuk yang menenggelamkan punggung itu. Rasanya tilamku pun kalah. Selesa sungguh rasanya.
Sarah melabuhkan punggungnya di sebelahku.

“Kak Som!”

Aku berpaling bila seorang wanita separuh abad datang sambil tersenyum manis.

“Kak Som, inilah Syah yang selamatkan nyawa saya hari tu. Ini adik-adiknya. Syah, ni Mak Som, pembantu rumah mami yang paling setia dan yang paling baik.”

Aku dan adik-adik bangun bersalaman dan mengucup tangannya. Orang tua harus dihormati. Itu adalah pesan ibuku.

“Oh, inilah dia yang Datin selalu sebut-sebutkan tu. Manis orangnya.”

Aku tersenyum. Malu pulak bila dipuji begitu.

“Errr, Kak Som buatkan air ya. Bawakan makanan sekali, kesian dia orang lapar ni.”

Aku hanya melemparkan senyuman manis kepada wanita itu. Sedari tadi aku masih belum mampu untuk berkata-kata. Masih terasa canggung.

“Errr, Datin... saya rasa elok saya balik dulu.”

“Baiklah, Sarah. Esok awak ada ke mana-mana tak?”

“Don’t know yet, Datin. Why?”

“Yalah, esok hujung minggu. Saya ingat nak buat makan-makan sikit. Shafiq pun ada, esok bolehlah kita discuss apa yang patut pasal proposal syarikat dari Jepun tu,”

“Nanti saya confirm balik ya, Datin. Sebab takut Si Haziq ajak dating pula.”

Datin Zulaikha tergelak.

“Oh, saya lupa... orang tengah darah manis. But why don’t you bring him together tomorrow? Dia pun kawan Shafiq juga, bukan?”

“Alright then, I’ll call you later, Datin. So, I have to go now. Girls, akak balik dulu ya. Jangan segan-segan tau? Buat macam biasa aja ya. Mami you all ni confirm baik punya. Nak makan apa-apa, minta aja kat Mak Som, okey?”

Adik-adikku tersenyum senang dan mengangguk. Sekali lagi mereka bangun bersalaman dengan Sarah.

Mak Som datang membawa tujuh gelas air oren dan sepinggan pisang goreng yang panas-panas lagi.

“Makan Syah, ni aja yang sempat Mak Som buat. Makan ya,” pelawa Mak Som.

Aku hanya mengangguk dan tersenyum. Pandangan kulemparkan pada sesusuk tubuh wanita separuh abad itu yang berlalu ke dapur semula. Aiman dan Azah tanpa segan-silu mencapai pisang goreng dan makan dengan rakus.

“Azah, Aiman!”

Aku jegilkan mata kepada mereka. Sebagai isyarat supaya menjaga adab.

“Tak apalah Syah, dia orang lapar sangat agaknya. Biarlah. Girls, makan cepat. Sekejap lagi mami tunjukkan bilik ya.”



KAMI meniti satu per satu anak tangga menuju ke tingkat atas. Di tingkat dua saja menempatkan enam bilik. Bilik-bilik itu berhadapan di antara satu sama lain. Terdapat ruang tamu sederhana besar menjadi pemisah di antara keenam-enam bilik itu. Di ruangan ini terdapat system home theatre dan permainan play station. Mungkin ruangan ini untuk bersantai, kerana hiasannya juga amat simple dengan dihiasi  langsir yang berwarna coklat gelap.

“Yang itu bilik air, ya. Semua bilik kat level ni guna bilik air yang tu.” Jari telunjuk Datin Zulaikha menghala ke arah sebuah pintu yang tertutup rapat. Betul-betul setentang dengan muka tangga. Bilik yang pertama adalah kepunyaan Alia. Kami beramai-ramai masuk ke bilik itu. Cantik sekali hiasannya yang berwarna pink bercampur putih.

“Errr mami, bilik ni untuk Lia ke?”

“Ya sayang, kenapa? Alia tak suka? Tak suka colour pink? Nanti mami panggil orang tukarkan, ya?”

“Eh, tak payah, tak payah! Memang Lia suka warna pink. Cuma bilik ni besar sangat.”

“Alia takut ke?”

Alia hanya tersengih. Memang adikku ini penakut sikit orangnya.

“Tak boleh berkongsi bilik ke mami? Membazir pula bagi sorang satu bilik,” soalku pula.

“Nope! Hanya Azah dan Aiman aja yang berkongsi bilik, sebab mereka masih kecil.”

Aku terdiam. Kami meninggalkan Alia keseorangan di bilik barunya itu. Bilik pertamanya. Kami masuk pula ke dalam bilik kedua. Bilik ini berhadapan dengan bilik Alia.

“Bilik ni untuk Aida, ya.”

Aida tersenyum senang. Lalu terus saja duduk di atas katil barunya itu. Cantik juga bilik ini. Hiasannya pun tidak keterlaluan. Menempatkan sebuah katil bujang di tepi jendela yang dihiasi warna ungu bercampur putih. Memang tenang sekali bila berada di bilik Aida ini.

“Aida suka tak?”

“Sukaaa... sangat mami! Thank you.”

Tiba-tiba Aida datang memeluk Datin Zulaikha. Pipinya basah. Adikku ini pula memang pelakon air mata. Pantang silap sikit pasti menangis.

“Hey, stop crying! Tak ada apa yang nak disedihkan. Aida bebas nak buat apa saja dalam bilik ni. Okey, sayang?”

Jemari Datin Zulaikha mengesat air jernih yang menitis di pipi Aida. Adikku itu hanya mengangguk perlahan. Kami keluar menuju pula ke sebelah bilik Aida tadi. Bilik ini kecil sedikit tetapi tetap juga dihias cantik. Berwarna kuning bercampur putih. Mungkin itu tema yang menghiasi setiap bilik agaknya. Warna utama digabungkan dengan warna putih.

“Ini pula bilik, Ain.”

“Wah, cantiklah! Ain memang suka warna kuning tau, mami.”

“Ya? Baguslah kalau macam tu, tak sia-sia bilik ni mami bagi untuk Ain. Tapi kecil sikit, tak apa ya sayang?”

“Ain okey aje, tak kisah pun. Tidur di ruang tamu pun tak apa, mami.”

Ain tersengih memandang Datin Zulaikha. Wanita itu tergelak halus. Ada keruh di wajahnya. Mungkin simpati bertandang agaknya. Aku juga tersenyum melihat telatah Ain. Adikku yang ini pula memang selamba dan sangat simple. Sifatnya amat menyenangkan. Sebab itu jugalah dia mempunyai ramai kawan.

Aku mengekori langkah Datin Zulaikha diikuti oleh dua adik kecilku itu. Kami menuju ke bilik yang berhadapan dengan bilik Ain pula. Sebaik pintu bilik dibuka, mataku membulat melihat keceriaan bilik ini. Seperti berada di sebuah taska pula rasanya. Bilik ini agak besar. Menempatkan dua katil bujang di kiri dan kanan. Di tengah-tengah tersedia meja kecil berwarna putih sebagai pemisah antara dua katil itu. Di sebelah kiri, cadar katil, dinding dan perabot dihiasi warna biru dan putih.

“Colour biru ini untuk Aiman.”

Aiman pula sudah melompat-lompat di atas katil. Aku menjegilkan mata sekali lagi padanya. Tetapi perbuatanku itu hanyalah sia-sia saja kerana Aiman buat-buat tidak nampak. Memang nakal betul adikku yang sorang ini. Memang begini perangai budak lelaki agaknya, langsung tak mahu mendengar kata.

“Yang colour merah ni untuk Azah.”

Aku menoleh melihat di sebelah kanan. Warna merah darah. Di dinding terhias bunga-bunga kecil berwarna putih. Cadar katilnya juga berwarna merah dan putih. Aku melihat sudut lain pula. Terdapat kereta-kereta kecil terhias di hujung katil Aiman dan teddy bear pelbagai bentuk tersusun cantik di hujung katil Azah. Memang ceria betul bilik ini.

“Bilik ni baru siap dihias semalam. Bau cat pun ada lagi ha, mami saja pilih bilik ni sebelah bilik Alia. Takut-takut dia orang mengingau malam-malam, bolehlah Alia dengar.”

Aku mengangguk faham.

“Come, mami tunjukkan bilik Syah pula.”

“Aiman, Azah, jangan bergaduh tau? Lepas main nanti kemas semula faham?”

Aku menitip pesan buat mereka lalu mengekori langkah Datin Zulaikha. Berkerut keningku apabila kami meniti tangga menuju ke atas. Sangkaku, bilikku juga di tingkat dua bersama dengan adik-adikku.

“Syah special sikit. So, mami bagi bilik atas ya. Kat atas ni, ada dua bilik aja. Dua-dua bilik tu besar,” ujar Datin Zulaika lembut.
Aku membisu. Tidak perlulah bilik besar sangat. Aku ini anak dara pemalas, Datin. Bab-bab mengemas rumah bukan kepakaranku.

“Ha, yang ini bilik Shafiq. Bilik Syah sebelah bilik Shafiq ni.”
What? Bilikku sebelah bilik si mangkuk ayun itu? Habis! Masak aku dibuatnya.

Sebaik pintu kamarku dikuak mataku membulat. Besarnya! Dihias cantik dengan warna pic dan sedikit warna coklat. Tidakku sangka warna ini bila digabungkan boleh membangkitkan kelainan.

“Mami tak tahu Syah suka colour apa. So, mami gabungkan dua colour ni sebagai simbolik imej Syah sekarang. Pic untuk perempuan dan coklat gelap ni mewakili sifat lelaki. Boleh ke macam tu?”

“Mami, cantik sangat! Walaupun ini bukan favourite colour saya, tapi bila digabungkan begini jadi cantiklah. Thanks mami!”
Datin Zulaikha tersenyum senang. Dia menarikku duduk di sofa berbentuk L.

“Lega rasanya, Syah boleh terima idea mami ni. Jenuh juga bertelagah dengan Sarah.”

Aku berkerut kening.

“So, memang mami dah planlah?”

“Ya, sejak mami tahu kisah hidup Syah pada malam tu, kat restoran Syah kerja dulu. Mami memang nekad untuk membawa Syah dan adik-adik tinggal dengan mami. Esoknya mami arahkan Sarah untuk arrange semua benda ni.”

“Walaupun masa tu mami tak pernah jumpa adik-adik saya lagi?”

“Itulah namanya mother instinct, sayang.”

Aku macam tak percaya saja. Agaknya Datin Zulaikha sudah menyiasat latar belakangku. Agaknya dia mengupah penyiasat persendirian kut.
Aku tersenyum nipis apabila memikirkan andaian yang aku rumus sendiri.

“Syah rest dulu ya, mami nak solat ni. Karang kita dinner sama-sama okey.”

Datin Zulaikha mengangkat punggung dan beredar dari kamarku. Aku menutup perlahan pintu kayu yang berukir cantik itu. Pintu kamar saja sudah cukup mahal. Aku memerhati setiap sudut kamarku itu. Katilku agak besar, queen size barangkali. Puaslah aku tidur malam nanti. Di kiri dan kanan katil terdapat dua meja kecil dan di atasnya terdapat lampu tidur. Permaidani yang gebu, jambangan bunga dan lampu kristal menghiasi indah ruang kamarku itu. Aroma Lavender semerbak harum melatari seluruh ruangan ini.

Aku melangkah ke meja solek yang terletak setentang dengan hujung katil. Besarnya meja solek ini. Apalah yang aku nak letak di atasnya? Aku hanya ada bedak talkum, deodoran dan sikat rambut saja. Minyak wangi tidak pernah merasa langsung, apa lagi alat solek beraneka warna. Wajahku ini mulus sekali tanpa secalit gincu ataupun pemerah pipi. Mataku melilau pula mencari almari pakaian. Takkanlah tak ada?

Aku menghampiri meja tulis yang sederhana besar di sebelah meja solek tadi. Di atas meja tulis itu sudah tersedia sebuah komputer dan lampu meja. Aku beralih pandang pula pada sebuah pintu yang tertutup rapat. Pintu kaca berwarna-warni itu aku buka. Dan secara automatik lampu pun menyala. Terbeliak mataku bila melihat almari pakaian yang panjang melekat di dinding kiri. Terdapat juga cermin panjang dan penyangkut di tepi dinding sebelah kanan. Jadi, di sinilah almari pakaian rupa-rupanya.

Aku membuka almari itu. Kosong. Apalah yang aku nak isi di dalam almari yang luas begini? Bukannya banyak pun baju aku.
Aku menutup semula pintu kaca yang berwarna-warni itu dan tanganku memulas tombol pintu di sebelahnya. Bilik air rupa-rupanya. Bersihnya bilik air ini, cantik sekali. Tidaklah berapa besar, tapi cukup selesa untuk seorang puteri sepertiku berlama-lama di dalamnya. Aku keluar dari kamar mandi dan menuju ke arah jendela. Dari jendela aku lihat pemandangan yang indah sekali. Kesemua rumah yang berhampiran juga adalah rumah banglo mewah tiga tingkat.
Mataku beralih ke bawah pula. Terdapat kolam renang sederhana besar. Cantik membiru dari atas.

Aku berpaling semula dan melompat di atas katil. Melantun-lantun tubuhku dek spring tilam empuk ini. Aku merebahkan badan. Letih sungguh rasanya. Bila mengenangkan di mana aku berada kini, terasa bagai mimpi pula. Hanya kerana telah menyelamatkan seorang wanita kaya, hidupku berubah. Dari kehidupan yang serba daif, menjadi selesa dalam sekelip mata. Dari seorang gadis kampung yang comot dan berpakaian lusuh, terus menjadi seorang puteri. Puteri tomboi.
Aku tergelak halus. Terasa seperti sebuah cerita dongeng Cinderella pula.

Ya, akulah Cinderella it
u.

Kalo nk tahu cerita selanjutnya beli la buku nie

0 comments:

Search This Blog

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...