Followers

Monday, December 13, 2010

Hati Bila Cinta ( cerita sekerat )

NAK call ke tak nak? Nak call ke tak nak? DZ mundar-mandir di ruang pejabatnya. Telefon bimbit di tangan dipusing-pusing. Sudah beberapa kali dia cuba membuat panggilan ke nombor Fazreen. Tetapi setiap kali itu juga dia memutuskan talian sebelum sempat talian disambungkan. Ego seorang lelaki. Dia masih malu dengan kejadian minggu lepas. Mama pula asyik bertanya sama ada dia sudah meminta maaf dengan Fazreen. Rimas betul macam ni!

“No. You have to call her. Cepat jumpa, cepat mintak maaf, cepat selesai benda yang merepek ni.” DZ memberi semangat kepada dirinya sendiri. Panggilan dibuat lagi. Kali ni mesti cakap betul-betul.

NOMBOR siapalah pulak ni? Orang tengah sibuk time macam nilah dia nak telefon. Panggilan dijawab.

“Helo.” Fenn memulakan bicara.

“Assalamualaikum.”

“Waalaikumussalam.” Suara lelaki. Siapa pulak ni?

“Boleh saya cakap dengan Cik Fazreen?” DZ sedikit gabra.

“Speaking. Boleh saya tahu siapa yang bercakap ni?” Fenn masih tertanya-tanya. Pelik betul. Menelefon orang, tetapi tidak memperkenalkan diri.

“DZ. I mean, Iqram.”

“Iqram? Iqram mana ya?” Sengaja Fenn buat-buat lupa. Mesti siasat dulu. Nanti kalau orang lain, malu aje.

Huh. Short-term memory betullah minah ni. Takkan dah lupa kut orang yang tengking dia hari tu? “Anak Puan Syarifah.”

Makin laju jantung Fenn berdegup. Apa lagi mamat ni nak? Takkan kena lagi kut?

“Apa hal you call I ni? I busylah.” Fenn buat-buat malas hendak layan. Tetapi memang malas hendak layan pun.

Kalau tak kerana mama aku, tak hingin pun aku nak telefon kaulah, jembalang.

“I wanna see you.”

“What? Nak jumpa I? Nak buat apa?”

Apa hal mamat ni tiba-tiba nak jumpa aku pulak? Takkan tak puas lagi mengamuk hari tu? Isy, musykil aku.

“I just wanna say erm….”

Aduh, susah betul nak mintak maaf. Malu ni!

“Say what? Cakap ajelah kat sini. Tak payah jumpa.”

Ini yang aku malas ni. Cakap ajelah. Banyak kerja ni woi!

“Sorry!” Huh. Keluar jugak.

“Hah, kan senang. Habis tu, nak jumpa buat apa lagi? Dah cakap, kan? Okeylah. Banyak kerja ni. Bye.” Fenn mahu putuskan talian. Tidak kuasa dia hendak melayan mamat tidak berperasaan macam tu.
Amboi, kerek betullah minah ni. Kau ingat aku hadap sangat nak jumpa dengan kau? Kalau kau tak nak, aku lagi sepuluh kuasa sepuluh tak nak, tau! Eksyen betul.

“Wait. I’ve to see you. Ada benda lain yang nak kena bincang.” Perkara ni mesti selesai segera. Malas nak tangguh lagi. Lantaklah nak jadi apa pun jadilah.

“Apa lagi? Busylah. Tak ada apa nak bincang lagi. Dah mintak maaf, dahlah. And for your information, I dah lupa benda-benda tu. Tak kuasa nak fikir lama-lama.” Memang tak kuasa nak fikir. Buang karan aje. Baik fikir kerja yang berlambak kat depan ni.

“Woi, kau ingat aku nak sangat ke jumpa dengan kau. Kalau tak kerana mama aku, tak hingin aku nak menghadap muka kau tu, tahu tak? Macam lawa sangat.” Hah, ambik kau. Berlagak sangat dengan aku. Kau tak kenal lagi siapa DZ.

Fenn tergamam. Fuh, angin torpedo dah datang balik dah. Baru aje tadi bukan main sopan cakap dengan aku. Main kasar ya? Siap kau, hantu!

“Habis tu, kau ingat aku nak sangat jumpa kau? Muka macam tempe basi, ada hati nak kahwin dengan aku. Masuk kuali ajelah buat sambal. Itu pun kalau ada orang nak makan.” Ambik kau sebijik!
Ooo... menjawab. Nanti kau!

“Wei mangkuk! Kau dengar sini. Kau ingat aku ni hadap sangat nak menikah dengan minah senget macam kau ni? Kalau tak sebab mama aku yang pergi pinang kau tanpa persetujuan aku, sampai tujuh keturunan pun aku tak hingin nak nikah dengan kaulah, mangkuk. Usahkan nak nikah, nak jumpa pun aku tak ingin.”

Mangkuk, kau panggil aku! Tak apa... kau panggil aku mangkuk, kan...?

“Hoi mangkuk jamban, kalau tak puas hati sangat, datang jumpa aku. Kau ingat aku takut dengan tempe basi macam kau ni?” Ah... belasah ajelah.

“Okey. Kau tunggu sampai aku datang. Kita tengok siapa yang mangkuk jamban.”

Minah kerek ni nak lawan dengan aku ya.... Tunggu kau. Kita tengok siapa yang jadi sambal tempe nanti. DZ kepal penumbuk. Rasanya penumbuknya sudah lama tidak makan orang.

Alamak, nak jumpa betul-betul ke? Aku main-main ajelah, mangkuk. Isy, biar betul mamat ni! Apa aku nak buat ni...? Fenn telan liur. Menyesali keterlanjuran mulutnya sebentar tadi. Pucat lesi mukanya. Seram sejuk seluruh tubuhnya.

“Helo… helo...!”

Alamak, dah putuslah pulak. Alahai, mati aku macam ni. Kalau mamat tu betul-betul sekeping macam tempe tak apalah jugak. Ini badan macam Stone Cold. Betul-betul cari nahas aku ni.

Fenn mundar-mandir di dalam pejabatnya. Kerja yang berlambak di atas meja, dibiarkan. Masalah lagi besar sudah datang. Nasib baik Doktor Amin di bilik sebelah cuti. Kalau tidak, mesti orang tua itu dengar dia berperang tadi. Hendak telefon Mek, nanti kacau pula. Sudahlah minah seorang itu asyik sibuk memanjang sejak naik pangkat ni. Otaknya bercelaru. Dia mesti fikirkan sesuatu. Sedang dia memerah otak mencari idea, telefon bimbitnya berbunyi lagi.

“Alamak, dia call lagi. Alahai, macam mana ni?” Terketar-ketar tangannya menyambut panggilan. Telefon dilekapkan ke telinga.

“Helo, aku dah kat bawah ni. Kau turun sekarang!” arah DZ dengan suara yang lantang.

Fenn menjauhkan telefonnya dari telinga. Boleh pekak kalau macam ini. “Hmmm… kan aku dah cakap tadi aku busy. Kau balik ajelah.”
Boleh ke buat alasan macam tu? Sudahlah aku yang mula-mula suruh dia datang.

“Hai takkan Cik Fazreen kita ni dah mengaku kalah sebelum berjuang, kut? Ke dah takut?” cabar DZ. Sengaja ingin membakar amarah Fenn.

“Tolong sikit ya. Takut-takut ni tak mainlah. Hah, okey. Kau tunggu. Aku datang.”

Cabar aku, ya. Nanti kau! Pantang keturunan aku dicabar, tau! Talian dimatikan. Fenn menyingsing lengan bajunya. Dalam beraninya ada juga gentar yang sedang hebat melanda jiwa. Memang dia sedang menempah maut.

Dari jauh Fenn sudah dapat melihat DZ yang berdiri di luar keretanya. Nasib baik tidak ramai orang. Kalau ada pelajar yang nampak, mati dia. Mesti kena gosip. Minta dijauhkan kalau dengan mamat sengal ini. Kalau dengan Ally Iskandar tidak apalah juga! Sempat lagi dia menggatal.

DZ memandang tajam ke arah Fenn. Badan keding macam ni ada hati nak lawan aku konon! Sekali aku jentik dah terbalik.

“Apa hal kau nak jumpa aku sangat ni?” Fenn buat-buat berani. Dalam hati, hanya Tuhan yang tahu.

“Hai, belum lawan lagi takkan dah pucat kut?” sakat DZ. Sengaja bagi Fenn gelabah.

Fenn meraba-raba mukanya. “Mana ada pucat. Aku letihlah, banyak kerja.”

Cuba menutup fakta yang sedang terbentang di hadapan mata. Tetapi memang dia takut tahap gaban pun.

“Ikut aku. Tak sesuai cakap kat sini. Nanti kalau student kau nampak, apa pulak kata mereka tengok lecturer dia orang yang ‘macam sopan’ ni bergaduh dengan lelaki depan mereka.” Sengaja ditekan perkataan ‘macam sopan’ untuk menyakitkan hati Fenn.

“Perlu ke? Alah, cakap ajelah kat sini.”

Tak kuasa aku nak keluar dengan kau. Kerja aku berlambak lagi atas meja. Buang karan aje.

“Okey. Aku tak ada hal. Aku bimbang kau tu aje. Nanti kalau orang nampak kau kena tarik ke, tumbuk ke, kau jugak yang malu.”
Fenn diam. Betul jugak. Tapi selamat ke kalau aku ikut mamat tak betul ni? Selamat kut. Ya Allah ya Tuhanku, selamatkanlah hamba-Mu yang tak berdaya ini daripada makhluk yang tak berhati perut ini.

TASIK di hadapan mereka ditenung tanpa perasaan. Sunyi sahaja tempat ini. Yalah, tengah hari macam ni siapa yang nak datang joging? Orang gila aje yang datang joging waktu macam ni.
“Hah, cakaplah cepat!”

Main-main pulak mamat ni. Tadi beria ajak datang. Sekarang dia pulak yang senyap.

“Apa kata kalau kita setuju aje dengan plan mama aku?” DZ memulakan bicara. Agak lama juga dia memikirkan tentang perkara ini. Kalau ini yang boleh membuatkan mamanya bahagia.

“Apa kau cakap ni? Kau jangan nak main-mainlah. Aku tak suka. Dahlah. Kalau tak ada apa-apa yang penting, aku balik dulu.” Kena sampuk dengan hantu tasik ke mamat sengal ni? Isy, tiba-tiba aje. Seram.

“Aku serius. Kalau itu yang boleh membahagiakan mama, aku sanggup. Aku tak sanggup nak tengok mama terus sakit macam tu.” DZ pasrah. Mama adalah segala-galanya. Tidak sanggup dia melihat mamanya terluka lagi.

“Oh, kalau aku yang terseksa tak apalah? Maaflah, aku tak semulia kau. Aku tak setuju.”

Banyaklah kau punya plan. Tadi bukan main lagi kau kutuk aku, sekarang ni nak suruh aku kahwin dengan kau pulak? Sorry sikit, kau silap oranglah.

DZ tenung mata Fenn tajam hingga membuatkan Fenn tidak selesa. Boleh tahan keras hati jugak minah ni. Tak apa, aku akan buat sampai kau setuju.

“Aku bagi kau masa untuk fikirkan pasal ni. Kita tak perlu kahwin. Just tunang aje dulu. Lepas setahun, kita putus. Mungkin mama akan boleh terima kalau kita hanya putus tunang daripada bercerai,” terang DZ dengan ego.

Fenn senyum sinis. “Hebat betul idea kau ni. Tak sangka pulak aku tempe basi macam kau ni boleh terfikir idea yang maha hebat macam ni. Hotak kau! Kau ingat aku ni apa? Buat kontrak jadi tunang orang? Aku tak setuju. Kau cari aje pompuan lain. Kat Chow Kit tu ramai. Kalau kau tak jumpa, aku boleh tolong carikan. Dah, aku nak balik.” Tak kuasa nak melayan orang tak betul macam ni. Makin dilayan, makin menjadi gilanya.

“Please....” Lengan Fenn ditarik pantas. “Please… just for once. Mama hanya nak kat kau. Kalau tak, dah lama aku cari perempuan lain yang jauh lebih bagus dari kau.”

Masih lagi angkuh. Nak mintak tolong dengan orang pun sempat lagi berlagak. Memang dasar tempe basi.

Tapi ni yang aku lemah ni. Tolonglah jangan merayu macam ni. Aduh… tak boleh… tak boleh! Kau kena kuat, Fenn.

“No!!!”

“Pleaseee!!!” DZ buat muka kesian. Anything for you, mama.
Isy mamat ni. Aku tendang terus masuk tasik jugak nanti. Tak faham bahasa ke?

“Tak nak! Dah, full stop.” Tegas. Tidak boleh bagi muka sangat.

“Okey, aku sanggup buat apa saja yang kau suruh asalkan kau setuju.”

Apa hal dengan kau ni, Dz? Ah... kali ni aje. Demi mama.
Hmmm... menarik. Kesianlah pulak aku tengok mamat ni. Isy, jangan lembut hati, Fenn. Tapi, kesian jugak kat Auntie Pah.

Sekali lagi perasaan wanitanya berbelah bahagi. Tidak tahu hendak buat keputusan yang bagaimana. Kalau dia setuju, maknanya dia menggali lubang kuburnya sendiri. Kalau dia tolak, dia gali lubang kubur orang lain. Isy, tak boleh jadi.

“Iiisssyyy, kacau la kau ni. Kalau tak menyusahkan aku tak boleh ke? Yelah, yelah. Nanti aku fikir. Tapi aku tak janji nak setuju dengan idea gila babas kau ni tau?”

DZ senyum. Yes, lakonan menjadi. He he... boleh ganti Rosyam Norlah macam ni.

“Thanks. Jom aku belanja kau makan dulu. Lepas tu, aku hantar kau balik.” Umpan DZ.

“Tak apalah. Kau hantar aje aku balik. Banyak lagi kerja aku kat ofis tu nak kena settle.”

Tak kuasa aku nak makan dengan kau. Tengok muka kau pun aku dah rasa nak muntah, inikan pulak nak makan dengan kau. Tolonglah!


TAWARAN DZ minggu lepas masih bermain-main di benaknya. Menjadi tunang kontrak selama setahun. Gila. Memang gila! Kenapalah cepat sangat dia mengalah?

Kenapalah boleh jumpa dengan mamat sengal macam tu? Menyusahkan hidup aku aje. Aduh... boleh botak kepala aku fikir benda ni la. Fenn mengomel di dalam hati. Memang dia tidak boleh tidur bila memikirkan masalah itu. Siang malam asyik teringatkan benda itu sahaja. Kalau tak nak fikir, kena fikir jugak sebab dah janji dengan mangkuk jamban tu. Wa… amma appa….

“Faz, itu hari I nampak you dengan sorang mamat dekat parking. Siapa? Pakwe ya?” Raja yang jalan beriringan dengan Fenn menuju ke bilik mesyuarat cuba mengorek rahsia.

Isy, busybody betullah tambi ni. Suka hati akulah nak jumpa dengan siapa pun! “Haah. Pakwe. Kenapa? You nak kenal dengan dia ke?”

“Hai, nampaknya melepas lagilah I kali ni.” Raja buat muka kecewa.

“Bukan kali ni aje. Memang takkan dapat.” Saja Fenn menyakitkan hati Raja. Bukan boleh dilayan sangat tambi sorang ni. Nanti makin naik daun.


“TAK ADA kerja lain nenek ni. Berangan aje. Kau kenapa? Cuba cerita kat aku!” Macam nak tembus TV Fenn tenung. Masalah memanjang minah sorang ni. Naik pening, Mek.

Nak cerita ke tak nak? Tapi kalau tak cerita kat Mek, nak cerita kat siapa lagi? Manalah tau, dia ada apa-apa idea.

“Mek, aku ada benda nak story kat kau ni. Tapi kau kena janji dulu tak boleh cerita kat orang lain, tau?” Fenn membetulkan duduknya menghadap Mek.

“Aku tau. Kau memang penuh dengan problem,” jawab Mek selamba.

“Tapi ini problem besar punya. Antara hidup dan mati.” Serius.

“Memanglah. Kalau tak hidup, matilah.” Mek sudah mengekek ketawa.
Isy minah sorang ni. Orang betul-betul, dia main-main pulak. Sekali aku backhand nanti, terus masuk kuali.

“Malaslah nak cerita macam ni. Orang serius, dia main-main pulak,” rajuk Fenn.

Mek masih dengan ketawanya.

“Okey... okey. Ala bucuk-bucuk. Aku gurau aje. Okey, aku dengar ni.” Ketawanya masih bersisa. Tetapi demi menjaga hati Fenn, dia cuba mengawal agar tidak terkeluar.

“Macam ni. Kau ingat kan dekat Si Iqram tu? Hari tu aku jumpa dia. Eh, bukan. Dia datang jumpa aku.” Fenn membetulkan ayatnya. Kedengaran lebih elok.

“Samalah tu. Kau jumpa dia jugak. Hah, apa lagi dia nak? Budak ni, sekali tak kena flying kick aku, memang tak serik tau!” Jelas sekali Mek begitu tidak menyenangi Iqram. Berkerut mukanya menahan marah.

“Dia ajak aku tunang.”

“What?!!!” Mek menjerit kuat. Agaknya satu apartmen ni pun boleh dengar.

Aku dah agak dah. Mesti minah ni terkejut beruk.

“Kau biar betul, Fenn. Habis tu kau terima ke?” Mek masih terkejut.

“Itu yang aku tengah pening ni. Aku tak tahu nak buat macam mana. Dia kata, tunang setahun, lepas tu putuslah. Nak bagi mama dia happy aje.”

“Hah? Mangkuk jamban punya mamat. Otak orang biul mana dia pakai ni? Suka-suka hati nak suruh jadi tunang dia. Lepas puas maki orang selori, lepas tu senang-senang pulak nak suruh jadi tunang. Isy, sengal tahap gaban betullah mamat ni.” Mek menumbuk-numbuk bantal tanda geram.

“Itulah. Mula-mula aku pun fikir macam tu. Dah puas aku tolak. Dia tetap jugak merayu-rayu. Kau tahulah aku, kan. Mana tahan kalau orang merayu-rayu macam tu.”

Itu memang satu kelemahan dirinya. Tidak tahan pujuk rayu. Bahaya betul!

“Isy, tak boleh Fenn. Tak boleh. Biar padan muka dia. Ajar sikit.” Memang marah benar Mek dengan Iqram.

“Tapi bila dia kata dia nak mama dia happy, aku jadi serba salahlah pulak. Disebabkan aku, auntie masuk wad. Aku fikir, kalau aku terima maybe aku boleh tebus kesilapan aku tu.”

“Kau tak salahlah, Fenn. Kan auntie tu dah maafkan kau. Salah dia jugak, kan? Lagipun, kalau kau terima, lepas tu putus, aku rasa terus masuk kubur auntie tu.”

“Isy, kau ni.... Tak baik doa macam tu.”

Tapi memang betul pun apa yang Mek kata tu.

“Tak ada la. Betul apa aku cakap. Aku cuma bagi pandangan aku aje. Tapi, kalau kau rasa kau nak terima lamaran tu, terpulanglah.”
Kesian betul kawan aku ni. Lepas satu, satu masalah. Nasib kaulah Fenn.

“Nantilah aku fikir balik. Tapi sekarang nikan aku rasa….” Muka Fenn berkerut.

“Rasa apa?” Mek hairan. Kenapa pulak minah ni?

“Laparlah... he he he….” Fenn sengih. Sudah macam kambing Pak Hassan.

“Ceh, kurang asam keping betullah. Aku ingatkan apa tadi.” Bantal yang dipegang tadi selamat mendarat di muka Fenn.

“Alah Mek, kau masakkanlah untuk aku. Kaukan tengah berlatih nak jadi suri rumah. Kalau tak practice sekarang, bila lagi?”

“Banyaklah kau punya practice. Suri rumah apanya! Kerja aku tu aku nak campak ke mana?”

“Kerja tetap kerja. Malam-malam, hari minggu, kau tetap kena jadi suri rumah, kan? Lagipun, kalau dah namanya perempuan, takkan lari ke mana. Dapur jugak akhirnya.”

“Pandailah kau. Kalau macam tu, kaulah yang kena masak. Kaukan dah nak kahwin nanti. Dengan siapa nama dia? Iqram Dzulqarnain. Ha… bertuah badan kau, ya.” Ketawa Mek berderai. Tidak boleh hendak ditahan-tahan lagi. Lebih-lebih lagi bila melihatkan muka Fenn yang sudah muncung sedepa.

“Isy, mulut kau jaga sikit. Sampai tujuh keturunan pun aku tak nak kahwin dengan dia. Tak kahwin sampai mati pun aku rela.”
Marah betul Fenn. Mengingatkan DZ, dia jadi geram. Bencinya meluap-luap.

“Jangan benci lebih-lebih. Nanti aku takut, kau sayang dia lebih-lebih.”

Masa depan tidak boleh hendak diramal. Macam-macam boleh jadi.

“Mek!!!!”


MASALAH dia dan DZ mesti diselesaikan hari ini juga. Apa nak jadi, jadilah! Yang penting, selepas ini, dia boleh hidup dengan aman.

“Aku tak boleh terima idea kau. Aku mintak maaf tapi aku tetap tak setuju. Kau cari ajelah orang lain.” Fenn berterus terang. Itu yang sebaiknya.

“Tapi hari tukan kau kata kau setuju?”

“Bila masa pulak aku kata aku setuju? Aku kata aku akan fikirkan dululah.”

Sekolah darjah berapa mamat ni? Benda senang macam tu pun tak boleh beza ke?

“Samalah tu. Tapi tolonglah. Kenapa tak nak pulak ni?” DZ buat suara kesian.

“Eh, kau ni tak faham bahasa ke? Aku kata aku tak nak, maknanya aku tak naklah. Dahlah, aku sibuk. Lepas ni kau jangan ganggu aku lagi. Lepas ni, aku tak kenal kau dan kau pun tak perlu nak buat-buat kenal aku lagi. Faham?”

Panggilan terus diputuskan.

Huh, lega! Masalah dah selesai. Sekarang, aku boleh hidup dengan aman tanpa gangguan ‘makhluk’ itu lagi.

“Helo…. Tak guna!” DZ menghentak tangannya ke meja.

Tak apa. Aku akan buat sampai kau setuju dengan cadangan aku walau dengan apa cara sekalipun. Kau tunggu ajelah nanti. Masa tu nanti, kau sendiri yang akan merayu-rayu nak kahwin dengan aku. DZ senyum penuh makna.

PINTU ofis diketuk. Terpacul seorang pemuda bersama sejambak bunga ros putih dan merah jambu.

Fenn yang sedang membuat persiapan untuk kelasnya tergamam. Terkesima pun ada.

Siapa pulak yang bagi bunga kat aku pagi-pagi ni? Mamat ni salah orang kut.

“Miss Fazreen?” Budak itu bertanya.

Fenn mengangguk. “Siapa yang bagi ni?”

Budak penghantar bunga hanya menggeleng.

Resit penerimaan ditandatangani.

Siapa ni? Mengigau siang ke apa? Kad kecil warna hati yang terselit, dibuka.

Good morning sweety.

“DZ? Apa kena dengan mamat sengal ni?” Hampir menjerit Fenn bila terbaca nama pengirim bunga itu. Baru aje nak cium. Hilang selera. Sayang betul. Bunga dah cantik, tapi pengirim pulak macam hantu.

“Hai, cantik bunga you, Fenn. Pakwe bagi ke?” Sarah yang kebetulan lalu di hadapan bilik Fenn, menegur.

“Eh tak ada la. Entah… salah alamat kut. You nak ke? Nah, I bagi kat you.” Fenn menghulurkan jambangan bunga kepada Sarah.

“Isy, you ni biar betul, Fenn. Kesian kat orang yang bagi tu. Kalau dia tahu mesti kecil hati tau,” balas Sarah walaupun di dalam hatinya teringin.

“Tak apa. Dia tak marah. Ambillah.”

Sarah menyambut jambangan ros putih dan merah jambu itu. Senyumnya melebar.

Lantaklah dia nak marah ke, nak mengamuk ke. Aku peduli apa! Fenn menyambung kerjanya yang tergendala tanpa rasa bersalah. Telefon bimbitnya berbunyi. SMS.

Hi, hope you like the roses.

Banyaklah kau punya suka. Bunga tu dah selamat dengan orang lain. Kalau ikut hati aku ni, dah lama masuk tong sampah, tau. Bukan bunga tu aje, dengan kau sekali aku nak humban masuk tong sampah. Fenn ketap gigi. Geram. Entah apa rancangan DZ padanya. Harap tidak berlanjutan.

“KAU apa hal, DZ? Dari tadi aku tengok kau senyum sorang-sorang. Ngigau ke apa?” Azhar yang kebetulan melepak di biliknya menegur.

“Tak ada apa-apalah. Saja…” jawab DZ acuh tak acuh.

“Alah, macam aku tak kenal kau. Ni mesti ada apa-apa ni. Cuba kau cerita kat aku.” Azhar tidak puas hati. Dia kenal DZ lama. Sejak sekolah menengah dan ke Jerman pun bersama. Hingga sekarang mereka masih berkawan baik.

DZ diam seketika sebelum memulakan cerita gilanya.

“Har, kau kena janji dengan aku dulu. Kalau aku cerita kat kau, kau jangan bagi tahu orang lain, tau!” Tegas suara DZ. Amaran keras.

“Ya. Tapi kau ceritalah dulu apekebendanya.” Azhar tidak sabar hendak mendengar cerita sahabatnya. Pasti ada sesuatu yang tidak masuk akal sedang berlaku.

“Macam ni. Kau tahu, kan mama aku sakit?”

“Yalah aku tahu. Tapi apa kena-mengenanya senyuman kau tu dengan mama kau?”

Sengal betullah mamat ni. Ada ke mak tengah sakit dia boleh senyum? Takkan itu pun nak rahsia, kut? Memang sengal.

“Okey. Sebenarnya, sebelum mama aku sakit, dia ada pergi pinang sorang minah kerek ni untuk aku.” DZ membuka ceritanya. Terbayang segala reaksi Fenn sewaktu mereka bertemu dulu.

“Hah? Kau biar betul, DZ. Kau kenal ke minah tu?” Azhar agak terperanjat.

“Tak,” jawab DZ selamba.

“Ooo… kiranya macam kena kahwin atas pilihan keluargalah ni. Hmmm… interesting.”

“Hotak kau interesting. Minah tu tolak pinangan mama aku. Itu yang mama aku masuk wad tu.” Hatinya kembali membara bila teringatkan tentang peristiwa tu.

“Hah? Dia tolak? Fuh, rugi… rugi.”

Azhar menggelengkan kepalanya. Dia tahu, sejak sekolah hingga ke universiti dan sampai sekarang, DZ memang menjadi kegilaan ramai gadis. Tetapi, nasib baik kawannya ini bukan playboy. Cintanya setia. Tetapi kesetiaan itu dihancurkan oleh seorang wanita bernama Sarah. Disebabkan itu, DZ tidak bercinta lagi. Dia jadi benci pada wanita. Rahsia DZ ada di dalam koceknya. Tetapi, dia amanah. Tidak akan sesekali dia menceritakan perkara itu kepada orang lain.

“Dan sekarang, aku rancang nak kenakan minah kerek tu. Biar padan muka dia.” DZ senyum angkuh. Di kepalanya, pelbagai idea jahat tersedia untuk mengenakan Fenn.

“Isy, kau ni biar betul! Takkan sebab dia tolak pinangan mak kau, kau nak pedajalkan dia? Tak patut tu, DZ.” Azhar kaget. Dia tahu, DZ tidak pernah main-main. Setiap apa yang dikata mesti dikota.

“Bukan sebab tu aje. Dia dah sebabkan mama aku sakit. Aku tak boleh terima tu.” DZ nekad. Fenn mesti terima balasan itu.

Azhar geleng kepala. Entah apa yang difikirkan oleh temannya ini.
“Habis tu kau nak buat apa?” tanya Azhar walaupun dia kurang setuju dengan tindakan DZ.

“Aku nak pastikan dia melutut depan aku. Biar dia merayu nak kahwin dengan aku,” jawab DZ angkuh.

“Kau pasti dia akan melutut depan kau? Kau jangan main-main dengan perempuan, DZ. Silap hari bulan kau yang melutut depan dia.”

Azhar memberi amaran. Walaupun dia bukan pakar dalam hal cinta, tetapi dia sudah masak dengan perempuan. Bukan seorang dua yang sudah jatuh ke dalam tangannya. Walaupun dia tidak sekacak DZ, tetapi bila ada duit, semuanya beres.

“Kau tengok ajelah nanti.”

Hatinya tetap. Takkan berubah. Dia akan cuba hingga berjaya. Dia takkan berpatah balik. Dia mahu perempuan tahu bagaimana sakitnya bila hati seorang lelaki hancur kerana perbuatan seorang perempuan yang dicintai sepenuh hati.

“Suka hati kaulah. Aku larang pun tak, sokong pun tak. Kau dah besar. Dah boleh nilai mana baik mana buruk. Tapi, kalau kau perlukan aku, just call me okay?” Azhar menepuk bahu DZ sebelum keluar dari bilik itu.

FENN menitiskan air mata bahagia. Dia baru sahaja selamat menjadi isteri kepada Iqram Dzulqarnain. Dahinya dikucup mesra oleh suami. Di jarinya tersarung cincin bertatah berlian. Cantik. DZ segak berbaju Melayu warna sedondon dengannya. Manis senyuman yang dihulur padanya. Sinar matanya jelas menunjukkan yang dia juga bahagia. Fenn pandang muka Auntie Pah yang jelas terpancar kegembiraan dengan pernikahan ini. Ibunya juga begitu. Seluruh ahli keluarganya menitiskan air mata kegembiraan. Tiba-tiba matanya tertumpu di suatu sudut. Kelibat lelaki yang amat dikenalinya. Lelaki itu senyum padanya. Kepalanya dianggukkan tanda setuju dengan keputusannya.

“Abang!!!”

Jeritannya tidak diendahkan. Lelaki itu pergi meninggalkannya. Cuba dikejar tetapi tidak terdaya. Tangannya digenggam kemas oleh DZ. Kelibat lelaki itu hilang sekelip mata. Cuba dipanggil sekuat hatinya namun abang sudah tiada.

“Abang!!!”

“Fenn, kau kenapa? Ngigau ke?” Mek kaget bila mendengar jeritan kuat Fenn. Dia segera menuju ke ruang tamu. Fenn tidur di situ.
Fenn bangun. Peluh membasahi mukanya. Dia mimpi. Mimpi yang sangat menakutkan.

“Itulah. Lain kali, kalau nak tidur tu bersihkan diri dulu. Solat dulu. Ini, balik kerja terus terbongkang macam kerbau kat depan ni. Mana tak mimpi! Dah, bangun!” bebel Mek.

“Aku mimpi abang. Aku mimpi aku kahwin dengan mamat sengal tu. Aku takut, Mek.” Tiba-tiba air matanya mengalir. Dia menangis teresak-esak.

Mek semakin pelik. “Kau kahwin dengan siapa pulak ni Fenn? Cuba cerita kat aku.”

“DZ.”

Sepatah kata Fenn sudah cukup membuatkan Mek kembali mengambil duduknya.

“Siapa? DZ? Kau biar betul, Fenn. Ke kau memang ada jodoh dengan mamat tu?” Mek saja mengusik.

“Simpang malaikat empat puluh empat! Tak nak aku!” Geram pula Fenn diusik begitu. Dia bangun menuju ke biliknya. Senyuman abang bermain di kepalanya. Apa makna semuanya?

Nak tahu penamat novel ini? Jangan lepaskan peluang untuk memiliki novel ini JANUARI 2011 nanti!!!

0 comments:

Search This Blog

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...