Followers

Tuesday, March 15, 2011

566 Hari Mencari Cinta

SEKILAS PANDANG… '566 HARI MENCARI CINTA' - ILYA ABDULLAH


HOTEL HILTON. Alunan muzik rancak bergema di ruang utama dewan hotel itu. Model-model jelita naik ke pentas silih berganti. Pakaian yang diperagakan turut bertukar-tukar fesyen. Di belakang pentas, para pereka dan jurusolek sibuk menyiapkan model-model yang bakal naik ke atas pentas.

Di satu sudut seorang wanita tinggi lampai sedang bersandar sambil memerhati gelagat-gelagat mereka dengan renungan tajam. Di sebelahnya berdiri seorang lelaki bermuka serius tanpa secalit senyuman di bibir. Tangannya tidak lepas dari memeluk fail.

Pertunjukan fesyen itu berjaya dilangsungkan dengan meriah sekali. Para jemputan bangun memberikan tepukan gemuruh. Rata-rata tetamu yang hadir adalah daripada golongan kelas atasan. Kilauan cahaya dari lensa kamera terpancar di sana-sini.
Pengacara majlis menjemput penganjur pertunjukan fesyen pada malam itu naik ke atas pentas.

Bunyi tapak kasut setinggi satu inci itu cukup dikenali. Lenggok jalannya seperti gaya seorang model. Bertubuh langsing dan tinggi lampai. Rambut yang panjang itu disanggul rapi, menunjukkan dia wanita yang anggun. Make-up yang dikenakan tipis namun sedikit pun tidak mencacatkan kejelitaan yang dimilikinya. Pakaian yang dikenakan menyerlahkan keanggunannya. Senyuman sinis sering terukir di bibir yang merah merekah itu.

Siapa lagi kalau bukan Firdayu Fahrin, pereka fesyen bertaraf profesional hingga mampu membuka empayar rekaannya sendiri. Nama Rosette Fashion Designer cukup gah di persada dunia fesyen. Dalam usia yang begitu muda, Firdayu sudah berjaya membariskan namanya di kalangan nama-nama besar pereka di dalam dunia rekaan fesyen. Keangkuhan jelas terpamer pada raut wajah jelita itu.

Seorang model lelaki menghulurkan tangan kanannya kepada Firdayu dan seorang lagi model perempuan memegang tangan kirinya. Model lelaki dan perempuan itu mengiringi Firdayu naik ke atas pentas.

Terpegun mata para tetamu yang hadir melihat kejelitaan Firdayu. Benarlah seperti yang hangat diperkatakan sebelum ini. Bukan sekadar indah khabar dari rupa. Wanita itu memang jelita. Mana-mana lelaki pun tidak sanggup menahan debaran di hati.

“Tuan-tuan dan puan-puan... biarlah saya perkenalkan kepada anda sekali lagi, pemilik Rosette Fashion Designer, Cik Firdayu Fahrin.” Pengacara majlis menghulurkan tangan kepada Firdayu.

Firdayu menyambut huluran itu dengan senyuman. Tepukan gemuruh bergema lagi daripada para tetamu.

Senyuman angkuh masih terpalit di bibir Firdayu. Firdayu masih belum berpuas hati dengan apa yang dia kecapi sekarang. Masih ada kemewahan yang ingin dikejarnya. Harta nenek! Dia mahukan harta nenek yang melimpah-ruah itu.

Kejelitaan yang terpamer telah menarik perhatian seorang lelaki segak berkot serba hitam yang berdiri bertentangan mata dengannya. Tidak berkelip-kelip mata lelaki itu melihat keindahan makhluk ciptaan Tuhan yang dinamakan Hawa.

Firdayu melemparkan senyuman namun bukan ke arah lelaki itu tetapi lelaki di sebelahnya. Firdayu tidak mengendahkan renungan tajam lelaki tersebut. Ruzair, salah seorang usahawan muda terkaya di kota metropolitan ini. Lelaki yang cukup sempurna serba-serbi di pandangan mata kaum wanita. Dalam erti kata lain, perfect! Lelaki yang bakal tunduk di bawah telunjuknya. Firdayu ketawa di dalam hati.

Seorang pemuda muncul bersama jambangan bunga menghampiri Ruzair dan temannya, Fahmy. Pemuda itu berbisik ke telinga Fahmy.
Fahmy tersenyum. Jambangan bunga bertukar tangan. Fahmy naik ke atas pentas.

“Congratulations.” Dia menghulurkan jambangan bunga lavender kepada Firdayu.

“Thanks, Fahmy. You tahu kesukaan I. Lavender.”

Firdayu menyambut jambangan bunga tersebut. Dia sempat sekilas lalu bertaut mata dengan pemuda di bawah pentas itu. Pemuda itu berpakaian simple tapi kelihatan terurus dan tampan walaupun rambutnya panjang mencecah bahu. Pemuda itu memiliki senyuman yang cukup menawan. Sayang… dia tidak tersenarai di dalam kategori lelaki pilihan Firdayu. Apa kelas bermain cinta dengan mamat penghantar bunga.

Pelbagai jenis jambangan bunga diterima oleh Firdayu terutamanya daripada lelaki-lelaki yang menggilainya. Tidak menang tangan Firdayu dibuatnya.

Kid turut membantu membawa bunga-bunga tersebut ke belakang pentas.
Firdayu duduk melepaskan keluhan. Jelas terpamer keletihan pada wajahnya namun dia lega kerana pertunjukan fesyen rekaannya berjalan dengan lancar. Dia tersentak apabila ada tangan menghulurkan segelas minuman kepadanya. Firdayu mengangkat kepalanya. Wajah Ruzair berada di ruang mata.

Ruzair melemparkan senyuman.

Mata Kid melirik ke arah Ruzair. Rasa-rasanya dia kenal dengan lelaki ini. Segera Kid mengalihkan pandangannya ke tempat lain.

“Boleh I temankan you?” Ruzair meminta keizinan. Sejak bertemu dua mata dengan Firdayu, entah kenapa hati Ruzair jadi tidak tenteram. Wajah jelita Firdayu tidak lari dari tatapan matanya. Sebelum ini dia menindakkan kejelitaan Firdayu, tuan yang empunya Rosette Fashion Designer.

“Hmmm….” Menggeleng tidak, mengangguk pun tidak. Gelas minuman di tangan Ruzair juga tidak bersambut.

“Maaf kerana kurang sopan dengan you. I patut perkenalkan diri I dulu, kan? I Ruzair Tan Sri Hamzah. Pemilik Teraju Utama Corporation.” Ruzair memperkenalkan dirinya. Tangan dihulurkan.
Firdayu tersenyum sinis. Sengaja jual mahal.

“I rasa you dah tahu nama I. Tidak perlu I introduce diri I lagi,” balas Firdayu bersahaja. Huluran tangan Ruzair tidak bersambut.
Ada riak tidak puas hati di raut wajah Ruzair. Firdayu tidak sudi menerima salam perkenalan daripadanya. Dia menarik balik huluran tangannya itu.

Fahmy yang sedang berbual-bual dengan beberapa orang tetamu di dalam jamuan itu beralih pandang. Bibirnya mengukir senyuman kelat melihat gelagat Ruzair yang sedang cuba menarik perhatian Firdayu. Memang Ruzair sengaja mencari nahas. Tidakkah dia dengar akan khabar-khabar angin mengenai wanita itu? Mana-mana lelaki yang mendampinginya tidak akan bertahan lama di dalam perhubungan. Mereka sendiri dengan rela hati akan memutuskan perhubungan dengan Firdayu. Firdayu tidak akan serius menjalinkan perhubungan.

“Excuse me. I nak jumpa kawan I sekejap.” Fahmy meminta diri. Dia perlu menyelamatkan Ruzair sebelum menjadi mangsa poison ivy itu. Firdayu, wanita yang bijak mengatur langkah dalam menjerat lelaki.

“Okay. We talk later, Mr. Fahmy.” Salah seorang rakannya berbangsa Cina bersuara.

“Thanks.” Fahmy membuka langkah.

Ruzair masih terpacak di hadapan mata Firdayu. Kid yang berada di sebelah Firdayu mengerling Ruzair dengan ekor matanya. Dia akan bertindak sekiranya Ruzair cuba mengapa-apakan Firdayu.

Sikap Firdayu yang tidak mahu melayannya telah membakar hati Ruzair. Wanita itu langsung tidak memandang dia. Apakah kekurangnya pada dirinya? Tidak layakkah dia memberikan salam perkenalan pada wanita itu?

Sayang, Ruzair tidak tahu apa yang bermain di dalam minda Firdayu. Firdayu sebenarnya sedang bermain tarik tali dengan Ruzair. Ini yang buat Fahmy tidak senang hati. Dia tidak mahu Ruzair dipermainkan oleh Firdayu.

“You tak patut layan kawan I begini, Yue,” sapa Fahmy. Dia pandang wajah Firdayu yang tersenyum sinis.

“You memang wanita yang angkuh. Tapi I like it. Tiada wanita yang pernah memberikan penghinaan begini pada I,” suara Ruzair dengan nada sindiran. Ruzair mengerling Firdayu.

Firdayu sekadar mengangkat kening. Bibirnya mengorak senyuman. Firdayu sama sekali tidak terasa dengan kata-kata Ruzair.

“I gerak dulu Fahmy,” ujar Firdayu.

“You nak tinggalkan party you?”

“You pun tahu sikap I, Fahmy. I tak sukakan party. Well… membosankan.” Firdayu bingkas bangun menyandang beg tangannya. Dia pandang sekilas ke arah Ruzair.

Ruzair mengangkat keningnya.

“I hope you tak berkecil hati dengan I, Mr. Ruzair and I hope you will enjoy the party.” Firdayu beredar bersama Kid. Sempat dia melambaikan tangannya kepada Fahmy dan Ruzair.

“Dia wanita yang menarik,” komen Ruzair.

“You kata menarik? I rasa lebih baik you jauhkan diri you dari dia. Dia adalah perempuan yang tak patut you kenali dengan lebih rapat. Poison ivy.”

“Poison ivy?” Ruzair mengerutkan dahi.

“I yang berikan Firdayu dengan gelaran itu ketika I dengan dia sama-sama belajar dulu. Dia wanita yang mampu menarik perhatian lelaki di sekelilingnya. Ada aura yang menakutkan. I tak mahu you juga menjadi mangsa dia, Ruz.”

Fahmy menunjukkan kebimbangannya. Tidakkah Ruzair pernah menonton watak Poison Ivy di dalam filem Batman itu? Semua lelaki tunduk pada wanita yang jelita itu dengan hanya menghembuskan racunnya. Dia tidak mahu Ruzair terkena hembusan racun cinta Firdayu. Bahaya!
“Apa yang you mengarut ni, Mie? Masakan I akan mengkhianati Fatin? I hanya ingin berkenalan dengan dia, tidak lebih dari itu.” Ruzair ketawa kecil. Kejelitaan Firdayu masih tidak mampu menggugat cintanya pada Fatin.

“I hanya beri peringatan pada you, Ruz. Orang yang berkahwin boleh bercerai-berai apatah lagi yang baru nak mengikat tali pertunangan macam you. Forget it! Lebih baik you buang niat baik di hati you itu jauh-jauh, Ruz.” Fahmy menepuk-nepuk bahu sahabatnya itu.
Ruzair sekadar menjongket bahu.



“CUN siot perempuan tu! Kalau aku dapat dia, gerenti aku tak pandang orang lain dah.” Dali memeluk bahu pemuda yang berada di sisinya itu.

Alfi hanya tersenyum.

Dali terdongak-dongak untuk melihat wajah jelita Firdayu.
Para wartawan mula mengerumuni Firdayu. Pelbagai soalan ditanyakan. Daripada isu kerjaya Firdayu hinggalah ke isu peribadinya. Namun bukan Firdayu yang menjawab tapi pembantu peribadi yang berada di sebelahnya.

“Dia ramai peminatlah,” getus Alfi.

Dali mengangguk tanda bersetuju. Lelaki seperti mereka tidak sepadan dengan wanita sejelita Firdayu yang punya kedudukan. Mereka tak ubah seperti pipit yang impikan merak kayangan. He he he… apa salahnya kalau pasang angan-angan, kan?

“Tapi kalau kau digandingkan dengan dia, memang padan. Dia jelita, kau cute. Usia bukan faktor utama, beb,” usik Dali.
Gadis-gadis di hotel itu amat suka mendekati Alfi kerana wajahnya cute macam hero kedua cerita drama bersiri Korea, My Girl. Lee Joon Ki. Mungkin juga kerana sikap ramahnya dan ringan tulang menyebabkan dia disenangi ramai.

Alfi menayangkan buku limanya.

“Aku tak mimpikan seorang permaisuri secantik dia. Aku lebih sukakan perempuan yang terima aku seadanya. Aku ada dengar budak-budak hotel ini bercerita. Perempuan itu seorang yang berbahaya. Kalau tak silap, dia orang panggil dia poison ivy. Ye ke dia sedahsyat itu?” tanya Alfi ingin tahu.

“Ha! Ha! Ha! Cepat betul cerita tersebar satu hotel. Ini mesti dari mulut Si Ita Murai tu. Apa yang kau dengar tu memang betul, bukan cerita olok-olok. Ada sorang staf hotel kita pergi service bilik dia. Secara tak sengaja staf kita tu kemaskan pakaian-pakaian dia yang berselerak kat atas tilam. Bukan setakat tu, semua barangnya yang terkontang-kanting itu disusun kembali. Bila dia masuk, biliknya sudah berkemas bersih. Mengamuk gila poison ivy tu. Bergegar hotel kita. Nasib baiklah staf tu tak dibuang kerja.” Dali bercerita.

Alfi menelan air liur. Perempuan yang menakutkan! “Aku ada dengar yang dia jugak kikis duit lelaki sampai licin. Malah ada yang tinggal sehelai sepinggang kerana dia.”

“Betullah tu. Tapi target dia lelaki-lelaki kaya saja, tau. Kalau kau… memang tak layak la jadi calon teman lelaki dia sebab dia tu perempuan materialistik. Alamak! Perut aku meragam pulak. Ini mesti kes makan mi goreng pedas tadi.”

Dali menekan-nekan perutnya dengan dahi yang berkerut seribu. “Kau boleh tolong aku tak?”

“Tolong apa?”

Dali menyeluk poket seluar lalu mengeluarkan segugus kunci. Dia hulurkan kepada Alfi.

“Ini kunci kereta. Kau mahu aku….”

Dali mengangguk.

Alfi menggetap bibir.

“Tolonglah… perut aku sakit sangat ni.”

“Tapi aku…”

Belum sempat Alfi menghabiskan ayatnya, Dali sudah berlari ke pintu belakang. Dah tak tahan sangat la tu!

Alfi mengeluh. Bukankah Dali tahu dia tidak punya lesen kereta. Dia mula gelisah. Nak tak nak terpaksa juga dia mengatur langkah.
Firdayu membuang jambangan bunga tersebut ke dalam tong sampah di ruang dapur hotel itu. Dia tersenyum sinis.

Kid jadi pemerhati. Tadi kemain Firdayu dengan senyuman plastiknya menerima jambangan bunga daripada lelaki-lelaki korporat itu. Tiga tahun bersama Firdayu… Kid sudah memahami Firdayu. Firdayu memang wanita plastik!

Huh! Ada hati lelaki-lelaki itu mahu memikat hati aku. Ingat layak sangatkah? Demand aku tinggi, tau! desis hati Firdayu.
Setakat Dato’ dan Tan Sri yang tua-tua bangka itu buat Firdayu geli-geleman. Meloyakan! Tapi kalau lelaki-lelaki tua itu digunakan untuk menghilangkan rasa bosan, tak kisahlah jika mereka jadi bahan permainannya. Lagipun bukan dia yang meminta. Mereka yang rela hati memberi.

“Tak sayang ke Cik Firdayu buang bunga-bunga ni?” soal Kid.

“Boleh tak you jangan menyibuk urusan I? You tu hanya orang suruhan I, jadi jangan nak pandai-pandai mengajar I!” herdik Firdayu.

“Tapi saya rasa tak salah kalau saya nak mengajar cik. Terutamanya pada benda yang saya rasa tak betul.” Kid membalas dengan selamba.
Itu yang buat Firdayu semakin menyampah bila beradu cakap dengan Kid.  

Gedegang! Tiba-tiba bunyi seperti pelanggaran kedengaran.
Bergegas Firdayu dan Kid melangkah keluar.

Bulat anak mata Firdayu melihat bahagian hadapan kereta Porschenya remuk akibat terlanggar tiang lampu.

Alfi sedang menggosok dahinya yang terhantuk akibat perlanggaran tadi. Beberapa pekerja hotel itu mengerumuninya.

Firdayu segera membuka langkah, merapati mereka yang sedang berkerumun. Dia menggigit bibir. Porsche kesayangannya sudah jahanam! Pemuda itu dikerling tajam. Kau memang sengaja mencari nahas dengan aku, budak! Kau tahu tak berapa harganya sebiji Porsche itu?

“Sayang….” Berlari-lari anak Firdayu mendapatkan Porschenya. Diusap Porsche kesayangannya itu.

Kid hanya memerhati saja gelagat Firdayu itu.

Tiada sesiapa yang menghiraukan keadaan kereta Firdayu. Mereka sibuk mengerumuni Alfi.

“I mahu jumpa you punya manager! Sekarang!” Firdayu melenting.
Semua mata terarah kepada wanita jelita itu. Wajah mereka berubah. Adakah Porsche itu milik Firdayu? Habislah Alfi kali ini! Masing-masing menggigit jari.

Firdayu merengus. Kid berdiri tegak di sisinya.

Berpeluh wajah Encik Amir, pengurus hotel tersebut. Firdayu mahu buat aduan ke pihak atasan. Tentu saja dia akan dipersalahkan kerana membenarkan pekerja yang tidak punya lesen memandu kereta membawa kereta pelanggan. Dia akan dipecat atau diturunkan pangkat. Dia memandang Alfi yang baru tiga minggu bekerja di hotel tersebut.
Alfi tidak berani menatap wajah ketuanya itu. Sepatutnya dia menunggu Dali melepaskan hajat terlebih dahulu.

“I benar-benar minta maaf, Cik Firdayu. Tolong jangan bawa perkara ini ke pihak atasan I. I akan bayar ganti rugi kepada you,” suara Encik Amir agak bergetar.

Firdayu tersenyum sinis. Apa kau ingat kau mampu bayar Porsche aku? Gaji kau seratus tahun pun tak cukup nak bayar harga Porsche aku ni!
“You mampu ke nak bayar ganti rugi Porsche I? Gaji you tak mampu menanggung kos kerosakan kereta I ni,” desis Firdayu.

Encik Amir terdiam. Dia menelan air liur berkali-kali.

“Apa you mahu I lakukan?” soalnya.

“I mahu you pecat dia sekarang jugak!” Jari telunjuknya diacukan pada wajah Alfi. “So, I takkan ambil kira dengan masalah tersebut.”
Berubah wajah Alfi. Jika dia dipecat, bagaimana dia mahu menjelaskan hutang sewa rumahnya yang sudah sebulan lebih tertunggak? Dia amat perlukan pekerjaan tersebut. Perempuan itu banyak wang, tentu sahaja boleh beli kereta baru. Kejam punya perempuan! Dia cuba meraih simpati pengurusnya. Namun yang dia dengar hanya keluhan kecil dari mulut Encik Amir.

“Baiklah.” Encik Amir memberikan persetujuan. Dia buntu. Tiada cara lain selain memecat Alfi bagi memuaskan hati perempuan ini!
Bagaikan ada batu besar menghempap tubuh Alfi ketika itu. Encik Amir menyebelahi Firdayu.

Firdayu melirik senyuman puas.

Kid menggeleng. “Cik Firdayu… tak wajar cik mahu dia dipecat sedangkan cik ada kereta lain.”

Firdayu membeliakkan biji matanya. Kid mahu membela budak mentah itu. Menyampah betul dengan Kid ni! Bencilah bila Kid sudah merenung tajam begitu. Dia seolah-olah dapat membaca pemikiran Kid. Macam ada telepati pulak.

“Kid!” Firdayu tidak mahu mengaku kalah.

“I tak mungkin tarik balik kata-kata I! No!” tegas Firdayu.

“Yes!”

“No!”

“Yes!”

“No!”

Encik Amir dan Alfi saling berpandang melihat Firdayu dan PAnya bertekak. Hairan juga mereka.

“Cik Firdayu… kalau begitu biar saya yang menanggung kos kerosakan kereta cik. Mulai hari ini saya akan bekerja tanpa gaji dengan Cik Firdayu. Saya rasa syarat pertukaran ini adil.” Kid bersuara tenang. Namun panahan matanya cukup tajam.

Itu yang buat Firdayu cukup menyampah jika dipanah oleh mata jernih Kid. Firdayu membisu. Dia mengusap dagu, berfikirkan sesuatu. Agak lama sebelum sekuntum senyuman sinis terukir di bibirnya. Ada manfaatnya juga jika dia memaafkan budak lelaki itu.

“Baiklah! I maafkan dia kali ini,” putus Firdayu.

“Awak sangat bernasib baik hari ini, budak mentah!” Firdayu pantas berlalu dari situ.

Kid melirikkan mata pada Alfi. Bahu pemuda itu ditepuk lembut. Dia mengikut langkah Firdayu.

Alfi angkat kepala. Bibirnya mengulum senyuman. Tidak sempat dia mahu mengucapkan terima kasih kepada Kid. Kid yang membantu dia dari dipecat. Dia seakan-akan pernah melihat Kid. Tapi di mana ya? Alfi garu kepala yang tidak gatal. Nyata daya ingatannya tidak kuat. Tapi, sungguh! Dia pernah melihat wajah lelaki itu.

Nak tahu penamat novel ini? Jangan lepaskan peluang untuk memiliki novel ini APRIL 2011 nanti!!!

“Kerana satu perjanjian, aku mencari cinta.
Dan kerana perjanjian itu, aku menemui cinta.”
TERBITAN: KAKI NOVEL ENTERPRISE
PENULIS: ILYA ABDULLAH
ISBN: 978-967-5067-70-9
SEMENANJUNG: RM 18.00
SABAH/SARAWAK: RM 21.00
JUMLAH M/S: 420

nie iffah nk gtau jew novel apa kluar bulan april nie....iffah bkn jual novel..

0 comments:

Search This Blog

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...