Followers

Tuesday, March 15, 2011

Pilihan Mama

SEKILAS PANDANG....'PILIHAN MAMA' - UMIE NADZIMAH

“PENAT betul rasa badan ni mama. Banyak betul projek baru kena handle.”

“Sebab tu anak mama lambat benar sampai rumah hari ini?”

“Man lambat sebab jalan jam la… ma. Dari HUKM tadi, melawat Rahman, assistant Man kat office tu. Kesian dia ma. Sakit teruk. Lembik badannya. Tapi doktor tak dapat kesan sebarang penyakit pun. Doktor kata dia stress, mungkin banyak sangat kerja.”

“Stress kerja? Man buli dia teruk sangat ke? Kesian budak tu.”
“Tak ada la… ma. Kita kerja in group, mana ada buli-buli. Walaupun banyak projek tapi masih boleh rehat. Boleh ambil cuti juga kalau nak.”

“Habis tu… kenapa Rahman sampai sakit macam tu? Janganlah jadi pada anak mama pula.”

“Hish… mama ni, janganlah minta macam tu. Setiap kata-kata ibu tu satu doa, tau!”

“Haah… la. Mama selalu terlupa. Bukan apa Man, mama risau kalau jadi apa-apa pada Man. Mama nikan ada anak seorang saja. Dialah intan, dialah payung mama.”

“Ada ke samakan Man dengan payung? Payung tu murah je ma. RM15 boleh dapat yang berkualiti, tau. Mama jangan risaulah. Man ni dah terlebih umur dah. Pandai-pandailah Man jaga diri sendiri. Di hospital tadi, Man jumpa ibu bapa Rahman. Mereka cuba juga berubat dengan ustaz di Bangi tu, ma. Dah beberapa kali juga mereka pergi. Yelah… Rahman pun dah dekat sebulan sakit.”

“Ada benda-benda tak baik mengganggu dia ke Man? Ada yang dengkikan dia ke?”

“Entahlah ma, kata mereka Rahman terkena buatan orang, tapi salah tuju. Bukan untuk dia. Untuk orang lain, tapi dia yang kena. Man tak tahulah nak kata apa. Antara percaya dengan tidak. Tapi biarlah mereka berusaha. Mudah-mudahan sihat.”

“Itulah… jangan suka makan sembarangan makanan yang orang bagi. Terutamanya jika kita tak kenal… jangan terus makan aje. Pilih-pilih sikit makanan tu. Hati-hati.”

“Yelah mama. Haah… la, Rahman tu memang suka makan. Pantang tengok makanan… dia rembat. Makanan Man selalu habis, ma. Kadang-kadang bekal yang mama buat tu pun tak sempat nak rasa. Kalau makanan yang orang bagi, tak kisahlah. Tapi kalau yang mama bekalkan jegil jugalah mata ni.”

“Selalu ke orang bagi makanan Man? Kalau dari orang tak kenal jangan makan, tau.”

“Taklah… mana Man pernah makan. Haah la… Man baru perasan, sejak kebelakangan ni Man selalu dapat sarapan free. Ingatkan Aliah yang belikan, sebab kalau dia nampak Man sibuk dia selalu sediakan. Bila tanya, dia kata takde pula. Tapi semua makanan tu Rahman yang telan. Satu pun Man tak rasa.”

“Mama risaulah, Man. Sekarang ni macam-macam orang ada. Tak dapat secara baik mereka guna cara halus. Masih ada lagi orang yang guna cara-cara kotor ni. Ingatkan zaman dulu-dulu je orang guna cara ni. Tapi sekarang ni di tengah-tengah bandar KL ni pun ada. Kalau di ceruk kampung orang asli sana tu logik juga.”

“Mama ni… kat KL ni lagi ramai orang busuk hati tau! Mama nak nasihatkan Man supaya hati-hati, mama pun kena beringat juga. Tengok sepupu mama tu, boleh dikatakan hari-hari datang. Mesti ada udang di sebalik batu.”

“Mak Cik Zai kau tu, bukan nak mencari udang lagi tapi nak cari orang bujang yang dah nak terlajak ni jadi menantu. Tu yang tak jemu-jemu dia bertandang. Ini pun satu masalah juga. Mama ni banyak kelas agama nak pergi. Kalau awal lagi dia dah sampai… takkan mama nak halau pula. Banyak dah kelas mama miss ni.”

“Habis tu… apa boleh Man tolong ma?”

“Kahwinlah cepat-cepat. Selesai banyak masalah.”

“Yelah… yelah. Nanti-nanti Man kahwin. Selesailah semua masalah mama. Man naik mandi dulu… dah busuk sangat dah ni....”

“Tengok tu… mama sebut je pasal kahwin, cepat-cepat dia nak pergi. Macam mana? Usia kita ni makin hari makin meningkat. Bilalah agaknya…”

“Mama nak dapat menantu, nak timang cucu.”

Mama menjeling, aku ketawa sambil mengatur langkah menuju ke bilik untuk membersihkan diri. Kesian juga mama. Betul-betul mengharap. Bilalah aku dapat menunaikan hajat mama ini? Detik ini,  aku tiada jawapan….

CERITA Rahman tidak habis di situ sahaja. Di pejabat heboh diperkatakan kononnya ada yang menggunakan khidmat mistik untuk mencapai hajat peribadi. Si malang Rahman yang menjadi mangsa. Jika kena kepada sasaran, orang yang dihajati boleh dimiliki!
Entahlah… aku antara hendak percaya atau tidak. Boleh juga jadi begitu? Bukankah syirik jika mempercayainya? Sakit itu datangnya dari Allah SWT.  Dia sahaja yang berhak! Manusia tidak mempunyai kuasa. Menjadi penyebab atau perantara, mungkin betul. Akan tetapi cerita-cerita gosip ni bukan boleh percaya sangat. Perkara seinci jadi seratus kaki. Satu sentimeter menjadi seratus meter. Sebenarnya, aku tidaklah dengar sangat. Cuma di hujung-hujung telinga sahaja… terdengar pekerja bawahan bercerita. Selebihnya faham-faham sendiri sahaja.

Kalau betul pun apa yang berlaku ini, terasa kelakar pula. Masih ada rupanya benda-benda macam ini pada zaman serba canggih ini? Zaman manusia satu dunia boleh berhubung dalam sekelip mata sahaja. Ada lagi agaknya bomoh-bomoh atau pawang yang membantu proses jahat ini. Tidak terjangkau akal dan fikiranku bagaimana mereka melakukannya.
Setahu aku, pekerja-pekerja yang terpilih untuk bekerja di syarikat tempat aku berkhidmat telah disaring dengan begitu ketat. Hanya yang betul-betul layak dan terbaik sahaja yang berjaya. Hampir keseluruhan pekerja mempunyai kelulusan dan kualiti yang bagus. Tidak sangka pula, ada yang percaya kepada kuasa-kuasa sihir atau alam lain. Seorang pekerja syarikat makanan antarabangsa berjenama terkenal menggunakan khidmat pawang? Kelakar… apa yang dikejar? Apa yang dicari? Sehingga seperti melupakan Tuhan? Sungguh… aku tiada jawapan.

Namun, berita tidak sahih yang baru aku dengar sungguh menggugat ketenangan fikiran untuk beberapa hari. Nama Encik Aiman, Pengurus Kanan Bahagian Jualan dan Promosi telah dikaitkan sebagai sasaran orang tersebut! Berdegup kencang juga jantungku seketika. Apa pasal namaku pula yang dikaitkan? Aku yang jarang mempedulikan bual kosong orang lain, dikaitkan juga? Aku yang sentiasa bermuka serius dan sepanjang masa tekun dengan kerja-kerja pejabat juga boleh digosipkan?  Hish… tak faham dengan dunia ini!

Sofia dikatakan menjadi punca kepada segala masalah. Dia telah menggunakan ilmu hitam dengan menghantar sesuatu melalui sarapan yang dititipkan untukku setiap pagi. Namun makanan tersebut tidak pernah kujamah walaupun sedikit. Maka, nasib malang tersebut terkena kepada Rahman yang pantang melihat ada makanan di pantri jabatan. Biasanya, aku akan menyuruh Aliah meletakkan makanan yang aku tidak mahu di sudut tersebut, khas untuk sesiapa sahaja yang merasa lapar. Di situ, sesiapa yang ternampak ada makanan, bermakna rezeki dialah hari itu kerana peraturannya adalah percuma dilihat dan dimakan. Tidak baik membazir. Tempat itu jugalah menjadi pelabuhan bergosip terutamanya bagi kaum perempuan!

Alahai Sofia, jika benar apa yang diperkatakan orang… bawalah bertaubat nasuha. Jangan diulangi lagi perkara-perkara jijik begini. Amat besar dosanya! Kasihanilah Rahman yang terlantar di hospital. Sedih bila melihat ibunya yang meratapi kesakitan yang ditanggung oleh anaknya. Sedih bila melihat ayahnya yang amat sugul bimbang keadaan anak yang semakin kritikal.

Jangan terlalu berani, Sofia. Banyakkan mengingati Tuhan. Selawat ke atas nabi-nabi jangan dilupa. Hati akan lebih tenang, petunjuk dan hidayah pun akan lebih mudah datang. Cara jahat begini bukan penyelesaiannya. Cinta tidak semestinya dimiliki. Walaupun payah, hidup mesti diharungi. Biarlah seiring dengan jalan yang diredai. Bukan jalan gelap dan hitam.

Namun, jika apa yang dihebahkan orang ini tidak benar… bersabarlah Sofia. Inilah yang dikatakan fitrah manusia. Mulut boleh memperkatakan apa-apa sahaja. Sebabnya, dia terlalu senang dibuka manusia. Tidak perlu menggunakan tangan atau tenaga yang banyak.
Sebetulnya aku amat runsing pada mulanya bila nama aku dikaitkan dengan kejadian Rahman, makanan Sofia dan ilmu mistik. Tetapi bila difikir-fikir balik, untuk apa aku harus membuang masa pada perkara-perkara yang tiada jawapan… emosi aku kembali tenang. Jika mama tahu cerita ini, bagaimana agaknya? Sedikit sebanyak aku dapat mengagak apakah tindak balasnya. Harap-harap, janganlah sampai ke telinganya mengenai cerita-cerita yang tidak pasti ini. Kesian pula mama nanti kerana terpaksa memikirkan jalan penyelesaian kepada masalah rumit ini.

Ingin siapa Pilihan Mama? Jangan lepaskan peluang untuk memiliki novel ini APRIL 2011 nanti!!!

“Restu mu...mengiringi bahagia hingga ke hujung nyawa....”

TERBITAN: KAKI NOVEL ENTERPRISE
PENULIS: UMIE NADZIMAH
ISBN: 978-967-5067-69-3
SEMENANJUNG: RM 18.00
SABAH/SARAWAK: RM 21.00
JUMLAH M/S: 428

0 comments:

Search This Blog

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...